KUALA LUMPUR: Kira-kira 60 peratus daripada tujuh juta responden rakyat Malaysia memahami tentang konsep Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.Beliau berkata maklum balas itu diterima melalui pungutan suara menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) baru-baru ini kepada kira-kira 14 juta pemilik telefon bimbit. "Maklum balas daripada tujuh juta (pemilik telefon bimbit) baru kami terima dan setakat ini 60 peratus dapat kita perakukan faham, tetapi ada lagi sekitar enam ke tujuh juta lagi yang sedang diproses, itu akan kita maklumkan kemudian dalam satu penerangan yang lebih khusus."Saya kira Gagasan 1Malaysia sudah berjaya sebab kita melihat respon yang kita terima itu mempunyai fahaman yang berada di tahap atas...jadi kalau sudah faham 60 peratus lebih sedikit itu satu gambaran yang boleh saya anggap berjaya," katanya kepada pemberita selepas majlis Sepetang Bersama Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan Pegawai Kanan Jabatan Penerangan di sini hari ini. Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menterinya Senator Heng Seai Kei dan ketua-ketua pengarah Jabatan Penerangan negeri. Rais berkata jabatan berkenaan juga telah melakukan tinjauan fizikal mengenai pemahaman masyarakat tentang konsep 1Malaysia."Sejumlah 12,212 responden telah ditemuduga dan lebih kurang 62 peratus mengatakan mereka faham dan maklum tentang maklumat dan matlamat murni Gagasan 1Malaysia."Jadi kedua-dua kumpulan data ini akan kita buat satu pangkalan dan kemudian kita buat satu cerakinnya supaya lebih mudah bagi kita menentukan aspek mana 1Malaysia ini yang harus kita beri penumpuan lebih daripada sekarang," katanya.Beliau berkata pihaknya juga akan menjadualkan segmen kedua maklumbalas SMS berkenaan bagi membolehkan responden memberikan huraian kepada jawapan yang diberikan."Soalannya (segmen pertama) mudah misalnya 'Fahamkah anda tentang Gagasan 1Malaysia?... ia tidak ada huraian. Mungkin mereka kurang faham tentang isiannya, itu akan kita jadualkan bagi segmen yang kedua dan bagaimana kita harus mengisi pertanyaan dalam bentuk jawapan yang lebih menjurus kepada fahaman yang lebih mendalam," katanya. Rais berkata sehubungan itu, kementeriannya akan menyusun lebih banyak program pemahaman seperti program semuka, program secara langsung di kampung, kampung baru, sekolah dan menerusi siaran-siaran televisyen yang mengandungi program-program pemahaman."Pengisian program-program tersebut akan meliputi penerangan dari segi perpaduan, kandungan Perlembagaan, pendekatan Rukun Negara, hak-hak asasi beragama, susunan kontrak sosial yang wujud, pembelajaran dan pelajaran yang ada," katanya.Rais berkata Jabatan Penerangan di negeri-negeri juga akan meningkatkan program yang sudah dirancang kepada tahap pemahaman masyarakat selain meningkatkan interaksi mereka dengan kerajaan negeri dan para pemimpin."Penerangan yang berasaskan kepada Gagasan 1Malaysia akan diperhebat supaya intisari 1Malaysia itu tidak hanya dilihat dari segi perpaduan tetapi dari segi hak-hak yang sedia ada juga di bawah Perlembagaan Malaysia."Sekarang cabaran bagi jabatan ini lebih besar sebab media pilihan sudah banyak dan media baru sudah banyak...tak semudah dulu. Namun kami bersedia mengubah pendekatan acara kita, jadi dengan cara ini generasi dalam lingkungan umur 20-an ke 40-an dapat kita garap seramai mungkin," katanya. - BERNAMA