suria

152 Saman Dikeluarkan Dalam Operasi Bersepadu Di Sekitar Ibu Kota

KUALA LUMPUR: Sebanyak 152 saman dikeluarkan ke atas pemilik kenderaan yang meletak kenderaan mereka sehingga menghalang lalu lintas dalam operasi bersepadu Ops Halang yang disertai oleh anggota dan pegawai polis trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam sekitar dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar ibu kota hari ini.

Sebuah kenderaan turut ditunda dalam operasi yang bermula dari 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari di beberapa kawasan sibuk seperti Kota Raya, Pasar Seni, Pudu Raya, Lebuh Ampang dan Jalan Sultan Ismail.

Timbalan Penguasa Penguatkuasaan DBKL, Ashari Ahmad memberitahu pemberita kemudiannya, antara kesalahan yang dilakukan pemandu ialah meletak kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan atau di garisan kuning dan membuat halangan hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Daripada 152 saman yang dikeluarkan, 127 saman adalah oleh DBKL, 10 polis, 10 JPJ dan lima Jabatan Alam Sekitar. Sebuah kereta Toyota Camry turut ditunda kerana meletakkan kenderaan di garisan kuning di Jalan Sultan Ismail.

"Tindakan lebih agresif akan dilaksanakan ke atas semua kenderaan yang melakukan kesalahan tanpa mengira jenis kenderaan yang pemiliknya melakukan kesalahan," katanya yang mengetuai operasi tersebut.

Kenderaan yang disaman melibatkan 40 buah bas, 16 teksi dan selebihnya kenderaan persendirian.

Ashari berkata Ops Halang telah dimulakan sejak Mei tahun lepas dan operasi hari ini merupakan siri pertama bagi tahun ini.

Operasi sedemikian di ibu negara merekodkan sebanyak 859 kesalahan halangan lalu lintas tahun lepas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan