suria

Tempoh Sahlaku VOA Mungkin Disingkatkan - Mahmood Adam

PUTRAJAYA: Kerajaan mungkin memendekkan tempoh sahlaku visa ketibaan (VOA) pelancong kepada beberapa hari sahaja berbanding sebulan sebelum ini, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Mahmood Adam berkata rancangan itu adalah salah satu langkah bagi memastikan kemudahan itu tidak terus disalahgunakan oleh sebahagian pelancong dari negara-negara tertentu.

"Langkah itu adalah antara cadangan yang dikemukakan pada mesyuarat antara KDN dengan wakil dari pelbagai kementerian di sini hari ini," katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya semua pihak yang terbabit dalam perbincangan itu akan mengadakan satu lagi mesyuarat sebelum hasil dan syor mengenai soal VOA, pekerja asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Selasa depan.

Mahmood berkata cadangan memendekkan tempoh sahlaku VOA itu juga dikatakan bersesuaian dengan tujuan melancong yang tidak memerlukan tempoh yang terlalu lama.

Kerajaan memperkenalkan kemudahan VOA pada 2006 sempena Tahun Melawat Malaysia.

Mesyuarat itu dihadiri oleh wakil daripada Kementerian Pelancongan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pertahanan, Sumber Manusia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta agensi berkaitan dari Sabah dan Sarawak.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun mendedahkan mengenai 39,046 warganegara India yang 'hilang' di Malaysia selepas kemudahan VOA mereka tamat tempoh dan perkara itu merupakan isu yang membimbangkan negara.

Katanya mereka tidak dapat dikesan daripada rekod Jabatan Imigresen seperti anggaran yang dibuat pada Jun lalu.

Mahmood berkata mesyuarat itu juga turut membincangkan soal mengenal pasti punca pelancong yang masuk ke negara ini tidak dapat dikesan selepas tempoh sahlaku VOA mereka tamat.

"Mengikut peraturan, mereka yang menggunakan VOA ini masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mereka juga mesti keluar melalui KLIA...kemungkinan mereka keluar ikut pintu masuk yang lain," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

YWP Bantu 161 Pelajar Miskin

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan