suria

Tun M: Tidak Perlu Tindakan Undang-Undang Terhadap Barry Wain

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis buku Malaysian Maverick, Barry Wain.

Menurut beliau, penggunaan kaedah perundangan tidak akan memberikan kepuasan kepadanya malah sekadar membuang masa.

"Itu (tindakan undang-undang) hanya buang masa dan sudah pasti tidak akan memberikan apa-apa kepuasan.

"Malah mungkin kes ini akan mengambil masa selama 20 tahun," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada majlis pembukaan Persidangan Am Bagi Menyokong Al Quds di sini hari ini.

Barry yang kini berpangkalan di Singapura menulis buku mengenai Dr Mahathir bertajuk Malaysian Maverick: Mahathir in Turbulent Times.

Barry antara lain mendakwa Dr. Mahathir telah menyebabkan kerajaan kerugian sehingga RM100 bilion sepanjang era pentadbirannya.

Pengerusi DAP, Lim Kit Siang kemudian mahu kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan tersebut dan ia dipersetujui Dr. Mahathir dengan syarat ia turut menyiasat pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun kerajaan mengumumkan tidak akan menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan berkenan.

Selain itu, Dr Mahathir yang mengakui telah membaca buku berkenaan dengan sinis memuji kandungannya.

"Saya sudah baca, ia sebuah buku yang fantastik dan saya fikir semua orang patut membacanya.

"Sebabnya sepanjang tempoh 22 tahun saya menjadi Perdana Menteri, saya tak pernah buat sesuatu yang baik... tapi tak mengapalah kerana dia mungkin buta, tak nampak apa yang ada," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain