suria

Anwar Tidak Dibenar Akses Dokumen Penting Sebelum Perbicaraan

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berhak untuk mendapatkan dokumen penting termasuk sampel spesimen Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana perbicaraan liwatnya belum bermula.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria berkata setiap tertuduh dilarang memiliki dokumen sebelum perbicaraan kerana ia mengandungi keterangan yang akan dibuktikan pihak pendakwaan pada perbicaraan kes tersebut.

Pada peringkat pra-perbicaraan, korum itu berkata Anwar hanya boleh mendapat akses dokumen dan bahan-bahan yang berkaitan dengan tuduhan, untuk membolehkannya memahami pertuduhan dan menyediakan pembelaan.

Penghakiman bertulis setebal 31 muka surat itu dibacakan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdull Hamid Embong yang bersidang bersama Hakim Arifin dan Hakim Mahkamah Persekutuan Md Raus Sharif.

"Perayu tidak berhak mengetahui apakah cara pihak pendakwaan akan membuktikan fakta-fakta itu selaras dengan tuduhan yang dihadapi oleh tertuduh.

"Ia kekal sebagai kuasa pihak pendakwaan," kata Abdull Hamid.

Abdull Hamid juga memutuskan perbicaraan kes itu bermula apabila pihak pendakwaan memanggil saksi pertama memberi keterangan dan bukannya sebaik pertuduhan dibacakan kepada tertuduh dan pengakuannya direkodkan, seperti yang dikatakan oleh peguam Anwar, Karpal Singh.

"Pada pandangan kami, permohonan untuk mendapatkan dokumen oleh Anwar masih lagi di peringkat pra-perbicaraan dan bukannya dibuat semasa perbicaraan," katanya.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun, 2008.

Antara dokumen penting yang diminta ialah kenyataan-kenyataan saksi yang direkodkan daripada Saiful, Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi dan tuan punya kondominium Hassanuddin Abdul Hamid, kenyataan tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur, nota ahli kimia, laporan perubatan dan rakaman CCTV di kondominium tersebut pada waktu kejadian.

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan yang dibuat Anwar agar pendakwa membekalkan beliau dokumen tersebut tetapi keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan selepas membenarkan rayuan pendakwa.

Dalam penghakiman tersebut, mahkamah tidak bersetuju dengan pandangan Karpal yang menyatakan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan Anwar mendapatkan dokumen tersebut, tidak boleh dirayu kerana keputusan itu dibuat pada prosiding mahkamah dan dianggap keputusan muktamad.

Karpal berhujah demikian dalam cubaannya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak menyebelahi Anwar sebaliknya memohon Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, Abdull Hamid memutuskan sebaliknya dengan menyatakan perkara itu boleh dirayu kerana permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen tersebut mengikut Seksyen 51 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) bebas untuk dibicarakan, oleh itu perintah hakim Mahkamah Tinggi dianggap perintah akhir yang akhirnya menghapuskan hak-hak Anwar.

Susulan keputusan itu, Karpal berkata beliau akan memfailkan permohonan semakan di bawah Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan.

Katanya Mahkamah tertinggi itu telah mewujudkan satu kedudukan yang akan melambatkan perbicaraan kes kerana keputusannya membuka ruang kepada pihak-pihak dalam kes mahkamah bagi mengemukakan permohonan interlokutori untuk rayuan.

Katanya ini bercanggah dengan Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman yang dipinda pada 1988 bagi mengatasi masalah perbicaraan berlanjutan dengan melarang permohonan interlokutori untuk rayuan.

Anwar bagaimanapun tidak hadir di mahkamah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain