suria

15 Penumpang Nyaris Maut Selepas Brek Gagal Berfungsi

PULAU PINANG: Seramai 15 penumpang bas Ekspress Konsortium yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur nyaris maut selepas brek bas berkenaan gagal berfungi sebelum melanggar dua kenderaan lain ketika cuba berhenti di Plaza Tol Sg Dua dekat sini.

Pegawai Trafik Negeri DSP Wari Kiew berkata kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 11.40 pagi ini.

"Pemandu bas berusia 58 tahun itu nyaris merempuh pondok tol di situ, bagaimanapun dia sempat mengelak sebelum melanggar sebuah van keselamatan dan kereta yang sedang menunggu giliran untuk membayar tol.

"Akibat kejadian itu, bas dari Alor Star, Kedah itu terbabas ke kiri jalan dan menghalang laluan sehingga menyebabkan kesesakan di situ" katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya kesemua penumpang termasuk pemandu bas dan dua pemandu kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Wari berkata siasatan awal mendapati pemandu bas yang berasal dari Kedah itu tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lalulintas atau jenayah serta bebas dari pengaruh dadah dan alkohol.

"Bas berkenaan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain