KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dan empat wanita rakyat China ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia dalam satu serbuan di sebuah unit pangsapuri di Jalan Klang Lama di sini, semalam.Dalam serbuan pada kira-kira pukul 9.30 malam itu, polis turut menyelamatkan seorang wanita yang juga rakyat China berusia 39 tahun yang menjadi mangsa sindiket berkenaan. Pegawai Turus Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur DSP Razali Abu Samah ketika dihubungi Bernama hari ini berkata kesemua suspek itu berumur antara 35 dan 40 tahun."Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah berpura-pura menawarkan pekerjaan kepada wanita asing sebelum menyimpan pasport mereka kononnya untuk urusan Imigresen."Bagaimanapun, pekerjaan yang dijanjikan tidak dipenuhi sehingga membuatkan mangsanya tertunggu-tunggu," katanya.Beliau berkata dalam serbuan itu polis turut merampas 11 pasport negara China.Razali berkata kegiatan sindiket terbabit terbongkar selepas mangsa menghubungi rakannya di sini bagi memaklumkan apa yang berlaku."Wanita terbabit memasuki negara ini sejak Mac tahun lepas. Dia dijanjikan pekerjaan di pusat kecantikan dan merasa tertipu selepas pekerjaan yang dijanjikan masih belum diterima."Dia yang ditahan di rumah terbabit kemudiannya berpura-pura membeli makanan di luar sebelum menelefon rakannya pada minggu lepas memberitahu mengenai perkara itu," katanya.Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua suspek terbabit memasuki negara ini menggunakan visa pelajar dan tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan."Pemeriksaan juga mendapati 11 pasport yang dirampas itu bukan milik suspek mahupun mangsa, malah tiga daripada pasport terbabit masih baru dan tidak memiliki cop pengesahan," katanya. - BERNAMA