HAYATI MOKHTAR DUBAI: Artis Malaysia, Hayati Mokhtar merupakan antara 22 artis wanita dari Asia Tenggara, Timur Tengah, Eropah dan Afrika yang akan mempersembahkan hasil karya masing-masing dalam Pameran Kesenian dan Wanita bertemakan "The Environment and The Future" (Alam Sekitar dan Masa Depan), di Sharjah.Hayati akan mempamerkan tayangan seni video mengandungi kisah yang berlaku di dalam dan di luar sebuah rumah pada 1930-an di Pulau Pinang yang dikosongkan. Beliau memberitahu Bernama baru-baru ini bahawa karyanya itu mengutarakan alam sekitar bukan hanya tentang alam semula, udara, air dan sebagainya."Alam sekitar juga mengenai bagaimana kita hidup, persekitaran bandar kita, kampung kita dan semangat kekitaan," kata Hayati.Garapan seni video Hayati menerokai lanskap dan tapak bersejarah, dan untuk menghasilkannya memerlukan idea yang dapat menghubungkaitkannya dengan masa, tempat dan kepunyaan.Penggambaran yang mengambil masa tiga hari tetapi disunting menjadi tayangan 20 minit, hasil karya seni itu dipamerkan pada pameran kesenian yang berlangsung sejak 20 Januari hingga 20 Februari anjuran Sharjah Ladies Club, di Muzim Kesenian Sharjah.Menjelaskan lanjut, Hayati berkata : "Apabila saya mengetahui rumah itu akan ditutup dan dikosongkan, saya meminta izin untuk mengambil video mnggunakan dua kamera, satu yang diletakkan di kawasan luar rumah dan satu lagi yang mengambil gambar pergerakan di dalam rumah di semua bilik."Anda akan dapat merasakan apa yang dilalui oleh rumah itu dan melihat perubahan di sana, dari sebuah ruang tamu berubah menjadi ruang kosong," katanya.Bunyi-bunyian seperti kicauan burung serta laungan azan turut kedengaran di dalam vieo itu, kata Hayati yang mempelajari bidang seni halus di Chelsea College of Art and Design serta Goldsmiths' College, University of London.Menurut Hayati, tidak semua perkara masa lampau harus dilupakan sepenuhnya bagi memenuhi masa depan."Alam sekitar dan masa depan perlu dilihat daripada perspektif yang dapat mengekalkan sejarah, yang menghubungkan kita kepada suatu bentuk keperibadian," katanya."Dan kita seharusnya membenarkan elemen masa lampau melangkau ke dalam masa depan dengan penuh kesantunan," kata artis yang telah menyertai pameran kesenian di beberapa tempat seperti Jepun, Australia dan Eropah.Konsul Besar Malaysia di Dubai Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin turut menghadiri majlis perasmian oleh Pemerintah Sharjah, Dr Sheikh Sultan bin Mohammed Al Qasimi.