suria

Wee Mungkin Berdepan Tindakan Disiplin

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong mungkin akan dikenakan tindakan disiplin ekoran tindakannya mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail berkata, Wee berkemungkinan besar akan dirujuk ke jawatankuasa disiplin sama seperti beberapa pemimpin PKR lain yang mengkritik Setiausaha Agung DAP itu.

"Kami akan membincangkan mengenai tindakan yang dibuat oleh Wee baru-baru ini pada mesyuarat biro politik PKR akan datang," katanya.

Jumaat lalu, Wee bertindak mengkritik Lim dengan mendakwa beliau menganaktirikan PKR di Pulau Pinang.

Wee mengeluarkan kenyataan itu untuk menyokong pemimpin PKR seperti Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim yang mencemuh Lim baru-baru ini.

Tan menegur Lim kerana "bermain politik yang bertaraf rendah dan penuh dendam", manakala Zahrain melabelnya seorang 'diktator, cauvinis dan berfikiran komunis'.

Wee berkata, adalah tidak adil mengambil tindakan disiplin terhadap pemimpin PKR yang meluahkan kekecewaan mereka.

Walhal katanya, tiada apa-apa tindakan diambil terhadap pemimpin DAP tertentu memburuk-burukkan pemimpin PKR yang lantang bersuara.

Wee ketika dihubungi semalam berkata, beliau akan tetap mempertahankan komen dan kritikan yang dibuat.

Sementara itu, Saifuddin berkata, notis akan dihantar kepada Tan hari ini bagi memaklumkan bahawa mesyuarat biro politik pada Rabu lalu memutuskan untuk merujuk beliau ke jawatankuasa disiplin.

Menurutnya, Ahli Parlimen Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dan ahli biro politik akan turut diheret ke jawatankuasa yang sama.

Zulkifli akan berdepan dengan tindakan disiplin kerana membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dari PAS.

Zulkifli kecewa dengan Khalid yang menyifatkan satu enakmen di Selangor melarang umat bukan beragama Islam menggunakan kalimah Allah sebagai ketinggalan zaman.

Zaid pula menghadapi jawatankuasa disiplin ekoran mempersoalkan partinya secara terbuka berhubung kegagalan untuk menggantung Zulkifli sementara menunggu tindakan disiplin.

Artikel Lain