suria

Dividen KWSP Dijangka Lebih Tinggi

PUTRAJAYA: Dividen untuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun 2009 dijangka lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya iaitu 4.5 peratus.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman berkata, pencapaian itu didorong oleh kedudukan pasaran saham tempatan yang semakin kukuh dan pulangan pelaburan yang lebih baik.

Mesyuarat mengenai kadar dividen itu akan diadakan pada bulan ini manakala pengumuman mengenainya dijangka diumumkan bulan depan, kata Samsudin yang juga Presiden Perbadanan Putrajaya kepada pemberita sebelum menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan memancing sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2010 di sini hari ini.

Disember lepas, KWSP mengumumkan meraih RM5.5 bilion perolehan pelaburan pada suku ketiga tahun lalu, peningkatan sebanyak RM696.32 juta atau 14.51 peratus berbanding RM4.8 bilion yang dikumpul pada suku sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol berkata ia menjadikan jumlah saiz dana KWSP meningkat kepada RM361.09 bilion berbanding RM353.93 bilion pada suku kedua tahun lalu.

Sebanyak 12 juta pencarum KWSP menerima dividen 4.5 peratus untuk tahun 2008, lebih rendah berbanding 5.8 peratus pada tahun 2007. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain