suria

184 Kenderaan Disaman Dalam "Ops Halang"

KUALA LUMPUR: Sebanyak 184 saman dikeluarkan kepada pemilik kenderaan yang menghalang lalu lintas sekitar bandaraya ini hari ini dalam operasi bersepadu "Ops Halang" yang disertai oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis.

Ketua Inspektor Unit Trafik Bandaraya Shaiful Anuar Shahrom berkata ada antara kenderaan itu berhenti terlalu lama sehingga menimbulkan halangan dan kesesakan lalulintas, dan ada pemandu yang meletakkan kenderaan di garisan kuning.

Beliau berkata Ops Halang 3 selama tiga jam bermula 9 pagi itu yang membabitkan 24 orang pegawai dan anggota dari ketiga-tiga agensi dilakukan di Jalan Tun Tan Siew Sin, Jalan Kasturi, Jalan Sultan Mahmud, Lebuh Ampang dan kawasan sekitar bangunan Kota Raya.

Katanya 45 saman membabitkan bas, teksi (8) dan kereta persendirian (131).

"Jumlah saman itu bagaimanapun menurun berbanding 224 saman yang dikeluarkan pada siri kedua operasi itu 26 Januari lepas," katanya kepada pemberita. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain