suria

"Zulkifli Noordin Bebas Keluarkan Apa Juga Kenyataan Tapi..."

PETALING JAYA: Dalam nada yang tidak pasti sama ada menyindir atau memberi lesen besar untuk berbuat apa sahaja, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Noordin bebas mengeluarkan apa juga kenyataan kepada media.

"PKR tidak akan bertindak ke atas Ahli Yang Berhormat dari Kulim-Bandar Baru Sdr Zulkifli Noordin sehinggalah kesnya dibawa ke hadapan Jawatankuasa Disiplin parti minggu depan," kata Saifuddin.

Sehingga itu, katanya, Zulkifli bebas mengeluarkan apa juga kenyataan atas apa juga isu kepada media, sama ada berkaitan dengan Pakatan Rakyat, isu kalimah Allah atau apa-apa pun.

“Bagaimanapun, semuanya akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin PKR minggu depan," ujarnya sebagai respon kepada kenyataan Zulkifli dalam rancangan Soal Jawab TV3 Isnin baru-baru ini dengan menyebut Pakatan sebenarnya tidak memerlukan DAP sebagai rakan kongsi sambil menyifatkan parti itu sebagai duri dalam daging.

Dalam program berkenaan, Zulkifli juga menyalahkan DAP di atas segala macam masalah yang sedang dihadapi oleh Pakatan di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah.

Malah beliau turut berkata yang DAP hanyalah sebuah parti bapa dan anak sebagai merujuk kepada Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng yang mendominasi halatuju parti itu.

Beliau juga meramalkan bahawa akan berlaku perletakan jawatan besar-besaran dalam PKR dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi kerana ahli-ahli semakin hilang kepercayaan ke atas kepimpinan parti kerana tidak mengendahkan aduan ahli mengenai tindak tanduk DAP.

Lebih memburukkan keadaan ialah apabila Zulkifli mencadangkan agar PKR bersatu bersama PAS dan Umno dalam membentuk entiti politik yang lebih stabil.

Zulkifli telahpun dirujuk ke Jawatankuasa Disiplin parti ekoran laporan polis yang beliau buat ke atas ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad dari PAS kerana menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Artikel Berikut

Artikel Lain