KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua kaum Cina Malaysia dan berharap semua rakyat Malaysia melihat hari muka dengan lebih optimis dan keazaman untuk membina 1Malasyia yang lebih kukuh dan dinamik."Ini adalah peluang untuk kita semua, sempena tahun Harimau untuk menyerlahkan pencapaian, kelemahan dan cabaran peribadi dan keazaman untuk menjadi individu dan rakyat Malaysia yang lebih baik di tahun-tahun akan datang. "Rumah-rumah terbuka akan diadakan sebagai menandakan bermulanya Tahun Baru Cina dan selaras dengan semangat 1Malaysia, saya menggalakkan semua rakyat Malaysia untuk turut serta meraikan sambutan ini, menziarah rakan Cina anda dan turut serta dalam perayaan ini dengan rakan anda," katanya dalam perutusan Tahun Baru Cina.Sebagaimana telah menjadi tradisi sejak berabad lamanya, masyarakat keturunan Cina Malaysia akan memperkukuhkan ikatan kekeluargaan dengan mengadakan upacara makan besar, memberi hormat kepada anggota keluarga yang lebih tua dan mengeratkan lagi silaturrahim, kata Perdana Menteri."Kita perlu berani dan lebih berusaha untuk mengenali rakan kita dengan lebih baik dan juga perlu lebih dinamik dan komited di tempat kerja, bagi membolehkan kita memberi sumbangan lebih baik kepada masyarakat dan negara," katanya.Perdana Menteri berkata menurut zodiak Cina, Harimau melambangkan keberanian, optimisme dan kedinamikan, dan mereka yang lahir pada tahun itu merupakan pemimpin yang secara semulajadi adalah berani, kuat dan bersemangat tinggi.Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat yang mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua kaum Cina Malaysia turut berharap kaum lain di Malaysia akan bersama-sama meraikan sambutan itu dalam semangat 1Malaysia."Sambutan Tahun Baru Cina tahun ini merupakan Tahun Harimau. Harimau adalah simbol kecerdasan berfikir dan bijak bertindak. Ia juga menjadi simbol kasih sayang, keberanian dan murah hati."Ini merupakan tahun yang sempurna untuk melakukan perubahan. Sama seperti dengan ciri harimau, diharapkan kita sentiasa berdiri di kaki sendiri," katanya dalam perutusan Tahun Baru Cina yang akan disambut esok.Ong yang juga Menteri Pengangkutan berharap mereka yang akan pulang ke kampung untuk menyambut perayaan itu, sama ada menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam, akan sampai ke destinasi dengan selamat.Beliau juga menasihatkan mereka supaya bersabar, berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas.Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu berkata Tahun Harimau akan memberikan "ngauman" permulaan bagi pemulihan ekonomi Malaysia akibat daripada krisis ekonomi tahun lepas.Sambil mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina, beliau berkata "harimau" akan membawa aktiviti ekonomi, pelaburan dan peluang kerja baru untuk rakyat.Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M Kayveas pulaberharap sempena Tahun Baru Cina ini, semangat perpaduan dan cintakan negara akan terus diperkukuhkan.Beliau berkata kepelbagaian masyarakat berbilang kaum di negara ini juga telah memberi satu sumber kekuatan yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.Menurutnya keharmonian negara yang telah terbina perlu terus disuburkan bagi memastikan segala perbezaan agama atau kepercayaan tidak menjadi punca keretakan perpaduan.Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye yang juga seorang daripada pemegang amanah Yayasan 1Malaysia berkata kaum-kaum lain juga perlu merayakan Tahun Baru Cina melalui konsep rumah terbuka bagi menyemarakkan semangat 1Malaysia.Beliau berkata interaksi antara pelbagai kaum semasa musim perayaan dapat membantu meningkatkan rasa muhibah, perpaduan dan keharmonian yang merupakan landasan penting untuk memperkukuhkan perpaduan di negara berbilang kaum seperti Malaysia.Di MELAKA, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata masyarakat berbilang kaum perlu mengukuhkan perpaduan bagi membina kekuatan bersama dalam usaha memajukan negara ke arah pencapaian 1Malaysia.Beliau berkata perpaduan antara kaum, semangat muhibbah, sikap tolak ansur dan bermuafakat amat penting untuk meningkatkan kejayaan dan kemajuan negara."Kita perlu berusaha untuk menokok tambah usaha kita ini dengan lebih gigih lagi dengan menggunakan segala kesempatan dan kemudahan yang jauh lebih baik daripada apa yang wujud sebelumnya terutama ketika kita mula mencapai kemerdekaan," katanya dalam perutusan Tahun Baru Cina. - BERNAMA