suria

Zul Noordin, Ibrahim Ali Kecam Guan Eng Batalkan Perarakan Maulidur Rasul

PETALING JAYA: Ahli Parlimen kontroversi dari PKR, Zulkifli Noordin malam tadi menyertai senarai pemimpin politik yang mengutuk dan mengecam apa yang mereka labelkan sebagai percubaan Kerajaan pimpinan Lim Guan Eng untuk membatalkan perarakan maulidur rasul bagi tahun 1431 Hijriah / 2010 ini.

"Ini jelas pada saya membuktikan apa yang telah saya sebutkan sebelum ini bahawa kepimpinan YAB Lim Guan Eng adalah bersikap chauvinis, ekstremis, rasis dan mempunyai agenda sempit perkauman yang jelas.

"Cubaan mereka untuk menutup kebenaran yang terbongkar sangatlah mengaibkan. Apakah ini yang dikatakan kerajaan yang telus dan ikhlas. Ternyata slogan mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz adalah retorik politik murahan yang kosong dan mengelirukan.

"Dan yang paling malang, ada segelintir di kalangan kita yang terpedaya dengan mainan politik silap mata ini dan turut bersekongkol untuk menjahanamkan agama dan bangsa sendiri," tegas Zulkifli dalam laman blognya yang dimuat naikkan pada jam 8.05 malam tadi (Ahad).

Zulkifli dalam nada yang sangat keras terus memberi amaran kepada Guan Eng bahawa masyarakat Islam tidak akan tunduk diam.

Malah beliau menyeru umat Islam dan kakitangan kerajaan negeri yang beragama Islam bangun membantah tindakan Guan Eng itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Perkasa hari ini melabel Guan Eng sebagai anti-Melayu sambil menyifatkan ketua menteri itu menipu tentang pembatalan perarakan maulidur rasul bagi peringkat negeri hujung bulan ini.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, Guan Eng secara tiba-tiba cuba berdalih mengenai pembatalan itu setelah pekeliling mengenainya disiarkan oleh media massa dan juga oleh internet.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain