ALOR SETAR: Sebanyak 28 gerabak kereta api barang tergelincir di Kilometer 58.75 berhampiran Kampung Guar Stesyen, Guar Chempedak, kira-kira lapan kilometer dari Pekan Gurun di sini, pada jam 4.48 petang semalam.Kejadian itu menyebabkan perkhidmatan Ekspres Langkawi-Hatyai dari Gemas, Johor dan perkhidmatan Ekspress Hatyai-Langkawi dari Padang Besar, tergendala kerana landasan ditutup. Menurut Pemangku Pengurus Kanan Unit Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Fadzil Ismail, kejadian itu berlaku semasa kereta api tersebut sedang dalam perjalanan dari Padang Besar ke Butterworth."Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian sedang disiasat," katanya ketika dihubungi semalam.Mohd Fadzil berkata, ekoran kemalangan itu penumpang dari Gemas akan diturunkan di stesen Ipoh dan dibawa dengan bas ke Alor Setar sebelum meneruskan perjalanan, manakala penumpang dari Padang Besar akan diturunkan di Alor Setar dan dibawa dengan bas ke Ipoh sebelum meneruskan perjalanan ke Gemas.Beliau berkata, kerja-kerja mengalihkan gerabak yang tergelincir di jangka siap lewat malam tadi. - BERNAMA