MACHANG: Sebanyak 20 buah premis perniagaan termasuk dua buah rumah di Bandar Lama Pulai Chondong, yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1 juta musnah dalam satu kejadian kebakaran kira-kira pukul lapan malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Che Mohd Fauzi Che Omar berkata, antara premis perniagaan yang musnah itu ialah kedai emas, kedai makan, kedai telekomunikasi, kedai membuat gigi palsu, kedai elektrik, kedai runcit, kedai jahit dan kedai borong.
Bagaimanapun, sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Poey Sit serta beberapa blok premis perniagaan lain termasuk sebuah stesen minyak Shell, yang terletak berhampiran deretan kedai yang musnah itu sempat diselamatkan daripada turut dijilat api.
"Pihak kami menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.11 malam sebelum bergegas ke tempat kejadian bersama lapan anggota, selain turut dibantu anggota dari Balai Bomba Ketereh, Kem Desa Pahlawan dan sebuah 'tanker' dari Kota Baharu.
"Sebaik tiba, lima premis sudah musnah dijilat api, dan merebak dengan cepat berikutan faktor jarak kedai yang terlalu dekat antara satu sama lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, walaupun api dapat dikawal dalam tempoh sejam kemudian, pihaknya menghadapi kesukaran untuk memadamkan api berikutan tekanan air yang terlalu rendah.
Che Mohd Fauzi berkata keadaan premis perniagaan yang majoriti diperbuat daripada papan serta kayu itu dipercayai menjadi punca mengakibatkan api marak begitu cepat, selain dipengaruhi faktor cuaca panas dan kering yang melanda negeri ini. Menurutnya tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pihaknya masih menyiasat punca kejadian itu.
"Kita masih menjalankan siasatan untuk mengenalpasti punca kejadian dan kerugian membabitkan 20 buah premis perniagaan dan dua buah rumah itu dianggarkan berjumlah RM1 juta," katanya.
Turut hadir melawat lokasi kebakaran itu pada pagi ini Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sementara itu Anggota Dewan Undangan Negeri Pulai Chondong, Zulkifli Mamat berkata kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan melalui Tabung Serambi Mekah kepada semua mangsa yang terlibat dalam kebakaran itu.
"Tok Guru (Nik Aziz) sendiri yang akan menyerahkan bantuan tersebut," katanya. -BERNAMA