KANGAR: Umno membantu semua golongan yang memerlukan tanpa sebarang prejudis selaras dengan perjuangan parti itu, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.Menteri Besar Perlis itu berkata Umno akan menjadi juara rakyat dan juara kepada perpaduan melalui agenda perjuangan dan program yang dilaksanakannya. "Umno sejak dahulu lagi tidak pernah meminggirkan golongan yang menderita akibat kemiskinan dan mereka akan dibantu.Kemiskinan tidak memilih parti," katanya ketika merasmikan program Juara Rakyat peringkat Parlimen Kangar di sini hari ini.Beliau berkata melalui program Juara Rakyat, para pemimpin Umno akan menziarahi dan membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira kaum dan fahaman politik.Md Isa berkata, program membantu golongan miskin dan daif bukan sekadar melalui program seperti itu sebaliknya ia akan dilakukan secara berterusan dan tiada noktahnya.Berdasarkan perjuangan yang ikhlas, beliau yakin rakyat akan terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menerajui negara ini pada pilihan raya umum akan datang. - BERNAMA