KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 13 April untuk sebutan kes terhadap dua beradik dan seorang lagi rakan mereka atas pertuduhan membakar gereja Metro Tabernacle awal Januari lepas.Hakim S.M Komathy Supiah menetapkan tarikh itu sementara menunggu laporan perubatan daripada doktor yang merawat tertuduh. Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 24, adiknya Raja Mohamad Idzham, 22, dan Azuwan Shah Ahmad, 23, didakwa bersama-sama beberapa orang yang masih bebas melakukan khianat dengan membakar Metro Tabernacle Church AG di No 28, Jalan 4/4c, Desa Melawati, di sini pada pukul 11.50 malam, 7 Jan lepas.Bagi kesalahan itu, kesemua mereka yang bekerja sebagai penghantar surat, didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt manakala Raja Mohamad Faizal dan Raja Mohamad Idzham diwakili peguam Zambri Ibrahim. Peguam Rosal Azimin Ahmad pula mewakili Azuwan Shah.-BERNAMA