LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Langkawi berjaya menahan 93 orang pendatang tanpa izin (PATI), dipercayai warganegara Myanmar, yang cuba masuk ke negara menerusi jalan laut di 27 batu nautika barat daya Pulau Singa Besar di sini petang semalam.Ketua Penguatkuasa Wilayah Utara APMM Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar berkata kesemua lelaki berumur antara 16 hingga 50 tahun itu ditahan dalam sebuah bot kayu panjang. "Kami menerima maklumat daripada APMM Pulau Pinang mengenai terdapatnya satu aduan oleh sebuah bot ikan tuna bahawa mereka tersempak dengan bot yang sarat membawa orang di perairan Langkawi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.Katanya sebuah bot peronda APMM yang diketuai Lt Maritim Hilmi Abdullah kemudiannya mengesan bot pendatamg tanpa izin itu kira-kira pukul 2 petang.Beliau berkata setelah membuat pemeriksaan, bot yang dinaiki oleh 93 orang itu tidak mempunyai nombor pendaftaran dan kesemua penumpangnya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.Katanya APMM turut menemui beberapa kampit beras dan dapur yang disimpan dalam bot itu dan mereka dipercayai telah belayar selama 40 hari.Zulkifli berkata bot dan 93 orang penumpangnya itu dibawa ke pangkalan Bukit Malut di sini untuk siasatan lanjut dan mereka akan didakwa di bawah Akta Imigresen kerana cubaan memasuki negara ini secara haram. - BERNAMA