suria

Warga Emas Cedera Parah Diragut

IPOH: Seorang warga emas cedera parah selepas menjadi mangsa satu kejadian ragut di Kampung Pengkalan Daun, Chenderong Balai, Labu Kubong, Teluk Intan, 100 kilometer dari sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, mangsa, Miserikah Bakri, 60, berasal dari Labu Kubung, yang mengalami patah tangan kanan dan tulang rusuk, menerima tiga jahitan dibibir serta cedera di kaki selepas beg yang disandangnya cuba diragut suspek dalam kejadian 11.15 pagi itu.

Goh berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menunggang motorsikal dalam perjalanan pulang ke rumah.

"Dan ketika sampai di tempat kejadian iaitu satu km dari rumahnya, sebuah motorsikal yang ditunggang suspek dari arah yang sama dilihat memotongnya dan bertindak membuat pusingan 'U' kira-kira 30 meter di hadapannya.

"Mangsa kemudian cuba mengelak tetapi gagal lalu bertembung dengan suspek menyebabkan kedua-duanya terjatuh di atas jalan dan suspek bertindak menarik beg mangsa yang masih disandang dibahu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Goh berkata, mangsa kemudian menjerit meminta pertolongan dan orang ramai yang melihat kejadian itu kemudian membantunya serta menahan suspek yang turut cedera dalam kejadian itu sebelum menghubungi pihak polis.

Mangsa dan suspek di hantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan di mana suspek diberi rawatan sebagai pesakit luar.

Katanya, suspek berusia 30 tahun gagal melarikan beg mangsa dan ditahan reman tujuh hari bemula hari ini untuk siasatan lanjut.

Goh berkata, hasil siasatan mendapati suspek adalah seorang penagih dan mempunyai enam kes lampau iaitu kes jenayah dan penyalahgunaan dadah. Kita akan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain