suria

Anak Bekas Setiausaha Sulit Pak Lah Diperintah Ke Hospital Bahagia

PETALING JAYA: Anak bekas setiausaha sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang menghadapi tuduhan memiliki sebutir bom tangan, hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini agar ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak setelah laporan perubatan mendapati ketika kejadian tertuduh tidak waras.

Muhammad Ezra Rusli, 28, turut menghadapi dua lagi tuduhan mengugut bapanya, Datuk Rusli Abdul Malik, 62, menggunakan sepucuk pistol jenis Glock dan serta tuduhan mengugut mendatangkan kecederaan.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di sebuah rumah beralamat C2-67 D’Shire Villa, Jalan Camar 4, Kota Damansara, antara jam 3.30 petang hingga 5 petang, 8 September tahun lalu.

Majistret Aishah Hijriah Arshad memutuskan Muhammad Ezra telah melakukan perbuatan seperti mana pertuduhan dan setelah mengambil kira laporan perubatan yang disediakan oleh hospital tersebut, mahkamah berpuas hati bahawa ketika kejadian tertuduh didapati tidak waras.

Aishah mengeluarkan satu perintah di bawah Seksyen 348(1) Kanun Keseksaan untuk menempatkan Muhammad Ezra di hospital tersebut mengikut perkenan Sultan Selangor. – BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain