PUTRAJAYA: Perkhidmatan awam yang dianggotai kira-kira 1.2 juta kakitangan tidak terkecuali daripada perlu melakukan transformasi segera sejajar dengan tuntutan untuk menzahirkan aspirasi kerajaan.Peranan penjawat awam amat signifikan dalam melaksanakan agenda negara dan mereka perlu melihat dengan sepasang mata yang baru melalui lensa yang segar bagi memastikan ia mampu menghadapi cabaran yang diletakkan di hadapan dengan penyelesaian yang tidak mempunyai cacat dan cela. Usaha itu sangat perlu khususnya ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mula melaksanakan transformasi besar-besaran dengan memperkenalkan lapan tonggak perdana yang melibatkan empat tiang utama dan empat nilai asas pelengkap di dalam pentadbirannya.Empat tiang utama itu ialah Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) manakala empat nilai asas pelengkap ialah Membudayakan Kreativiti dan Inovasi; Mementingkan Kepantasan Bertindak dan Membuat Keputusan; Nilai Untuk Wang dan Nilai Integriti.Lapan tonggak itu yang diilhamkan oleh Perdana Menteri ialah sebagai panduan kepada penjawat awam menggalas amanah dan tanggungjawab bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi.Lebih signifikan lagi, cetusan idea Perdana Menteri itu diperkenalkan kepada 4,000 penjawat awam ketika hampir setahun pentadbirannya, semasa Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 (MAPPA XI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Selasa lalu.Beliau memilih persidangan itu sebagai platform menjelas dan menekankan peranan yang perlu dimainkan oleh sektor awam untuk melaksanakan gagasan dan hasrat kerajaan.Gagasan 1Malaysia adalah satu falsafah induk yang bersifat merentas dasar serta pelaksanaan kerana matlamat itu adalah perpaduan nasional."Inilah matlamat yang menjadi cita-cita dan aspirasi semua warga Malaysia sejak dulu lagi. Sama ada suka atau tidak, sebagai sebuah negara majmuk tanpa dipacu perpaduan nasional, apa pun cita-cita kebangsaan yang lain seperti usaha mencapai taraf hidup yang lebih baik untuk setiap warga akan hanya tinggal angan-angan kosong."Terbukti tanpa perpaduan nasional, tidak mungkin wujud kestabilan politik yang menjadi teras kepada segala-galanya," kata Perdana Menteri.Tranformasi kerajaan pula bertujuan menjadikan kerajaan lebih responsif terhadap aspirasi dan lebih prihatin kepada denyut nadi rakyat, seperti yang sering disebut Perdana Menteri bahawa era kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir dan perlu bersifat sebagai pemudahcara.Tiang utama ketiga dan keempat, iaitu MEB dan RMK-10, merupakan dua insiatif ekonomi bagi memeta hala tuju jangka panjang, sederhana dan jangka pendek.Empat tiang utama dan empat nilai asas pelengkap itu saling melengkapi antara satu sama lain dan bagi membudayakan kreativiti dan inovasi, penjawat awam mesti berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan mencari penyelesaian kreatif dan inovatif di luar kelaziman.Peranan pantas bertindak dan membuat keputusan itu pula amat penting kerana tindakan sedemikian akan meningkatkan "velocity of money" atau halaju kitaran wang dalam sistem ekonomi negara.Begitu juga dengan nilai untuk wang supaya mengelakkan pembaziran dalam usaha memastikan setiap ringgit dan sen yang dibelanjakan mendapat pulangan nilai paling maksimum kepada kerajaan dan rakyat. Aspek integriti turut ditekankan oleh Najib kerana padanya, transformasi ke arah menjadi masyarakat maju bukan sahaja diasaskan kepada kemajuan ekonomi dan teknologi malah turut melibatkan kemajuan dalam pembangunan sosial, budaya, intelek dan rohani.Amanat lebih sejam oleh Perdana Menteri itu disambut baik oleh para penjawat awam dan para pegawai kanan kerajaan yang sudah tentunya beriltizam untuk memberikan perkhidmatan terbaik.Malah, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata semua penjawat awam perlu berganding bahu demi merealisasikan aspirasi kerajaan yang mengutamakan prestasi dan berpaksikan keutamaan kepada rakyat.Katanya, Perdana Menteri telah meletakkan kepercayaan penuh kepada anggota perkhidmatan awam untuk bersama-sama memenuhi janji dan memberikan sepenuh komitmen dalam memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Dr Mohd Tap Salleh berkata lapan tonggak yang digariskan oleh Perdana Menteri boleh dicapai dengan kerjasama daripada penjawat awam dan anggota pentadbiran yang bekerja sebagai satu pasukan. Beliau berkata tiada perbezaan objektif di antara penjawat awam dan anggota pentadbiran kerana matlamat akhirnya ialah untuk membantu rakyat."Langkah untuk merealisasikan aspirasi negara itu sedang berjalan, tetapi seperti kata Perdana Menteri sebelum ini, sekarang bukan lagi pada gear satu, tetapi gear tiga dan empat kerana cabaran yang mendatang itu begitu besar."Jika berdasarkan kepada daya saing negara, kita tidak berada pada tahap tinggi yang sepatutnya kita berada," katanya.Beliau berkata penekanan yang dibuat oleh Najib itu bukan sahaja kepada penjawat awam malah turut membabitkan pihak swasta. "Beliau menekankan sektor korporat juga perlu menyinsing tangan untuk sama-sama bergerak. Tidak ada perbezaan di antara sektor awam dan sektor swasta kerana semua mesti bergerak selari."Tahun 2020 hanya 10 tahun sahaja lagi dan jika ini tidak dilakukan, matlamat ini tidak akan dapat dicapai," katanya.Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman menyifatkan lapan tonggak perdana itu sebagai amanat yang komprehensif dan memberi visi yang jelas kepada anggota perkhidmatan awam dalam menetapkan hala tuju negara pada masa depan.Langkah itu selaras dengan agenda transformasi kerajaan selain meningkatkan imej perkhidmatan awam di mata rakyat, selain memacu negara menjadi sebuah negara maju, katanya.Omar berpendapat perubahan di dalam perkhidmatan awam perlu membabitkan pelbagai peringkat termasuk hubungan yang rapat daripada peringkat atasan hingga ke bawahan bagi mewujudkan perkongsian pintar.Kesimpulannya, sektor awam diakui sebagai nadi dan jentera sesebuah kerajaan untuk membuat pacuan ke arah pentadbiran yang dinamik, cekap dan memenuhi aspirasi seseorang Perdana Menteri. Transformasi perlu dalam sektor awam sekarang kerana berjaya atau gagal pentadbiran Najib itu turut bergantung kepada sektor itu.Persoalannya sekarang ialah, apakah mereka mampu mengikuti gerak tindak Najib yang begitu pantas? Jentera kerajaan mesti mampu mengikut rentak Perdana Menteri, jika tidak aspirasi beliau akan tergendala.Jika jentera kerajaan dipacu perlahan sedangkan Perdana Menteri bergerak jauh lebih pantas dan ke hadapan, maka di sini akan berlaku sesuatu yang merugikan semua pihak.Oleh itu, jentera kerajaan mesti menyerapkan mantera kepantasan bertindak menerusi perubahan pemikiran dan kaedah bekerja, seiring dengan pembangunan inovasi dan pembaharuan yang berterusan.Transformasi ini, seperti yang dikatakan oleh Mohd Sidek, boleh merubah landskap sosioekonomi negara dengan pantas dan berkesan.Ia akan terus membantu visi Perdana Menteri yang jelas dalam mewujudkan sebuah negara maju yang mengutamakan rakyat, agar tiada siapa pun walau berada di pelosok mana di dalam negara akan merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada manfaat arus kemajuan.Ini adalah masanya bagi penjawat awam untuk merealisasikan matlamat negara sebagaimana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.Dengan semangat yang lebih komited, mereka tentu boleh membantu mempertingkatkan mutu pentadbiran, memperkukuhkan pengurusan serta melaksanakan khidmat penyampaian yang melambangkan keprihatinan yang tinggi di dalam negara. - BERNAMA