PUTRAJAYA: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mencadangkan agar aktiviti belon udara panas dijadikan aktiviti sukan atau riadah yang boleh ditawarkan secara berkala dan bukan hanya sebagai acara berbentuk fiesta di peringkat antarabangsa semata-mata.Beliau berkata dengan cara itu, masyarakat boleh turut mengambil peluang untuk melalui pengalaman menaiki belon udara panas bersama keluarga, sahabat handai dan rakan taulan secara berkumpulan. "Ia boleh dijadikan sebagai salah satu aktiviti bersama yang mampu untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan silaturrahim yang sedia terjalin antara mereka," katanya pada majlis penutupan Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2010 di sini semalam.Mengenai fiesta tersebut, Rosmah berkata ia berjaya mendekatkan lagi rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat serta kaum sesuai dengan matlamat Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, malah ia turut menjadi medan pertembungan budaya para peserta pelbagai negara.Selain itu katanya, acara itu juga berjaya mengubah persepsi masyarakat yang menganggap acara itu merupakan aktiviti yang berbahaya dan tidak sesuai untuk dijadikan acara riadah bersama keluarga."Saya berharap agar acara ini dapat diteruskan di tahun-tahun hadapan dan penganjur perlu merancang sesuatu untuk tambah nilai bagi menjadikan acara tahunan belon udara panas di Putrajaya ini sebagai acara yang ditunggu-tunggu oleh semua serta dapat menarik lebih ramai penyertaan dari negara-negara yang sudah lama mengungguli acara belon udara panas ini."Saya juga berharap agar pihak Kementerian Pelancongan serta Perbadanan Penggalakkan Pelancongan (TDC) akan memberi sokongan padu secara berterusan dalam mempromosikan acara belon udara panas serta menjadikan ia sebagai salah satu acara tetap dalam kalendar tahunan pelancongan," katanya.Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya yang merupakan kali kedua diadakan itu telah menarik lebih 150,000 pengunjung dari dalam dan luar negara sepanjang empat hari penganjurannya bermula Khamis lalu. - BERNAMA