KUALA LUMPUR: Seramai 30 pelajar paling cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 yang mendapat "A+" bagi semua mata pelajaran hari ini diumumkan sebagai penerima Biasiswa Nasional 2010 yang diwujudkan buat pertama kali.Mereka akan berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka dunia dalam bidang-bidang pilihan mereka yang telah diikhtiraf oleh kerajaan. Senarai penerima biasiswa itu diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan petang ini.Mereka ialah Gladys Tan Yee Kim (SMK Green Road, Kuching) yang merupakan pelajar terbaik SPM 2009, Grace Kiew Sze-Ern (SMK Perempuan Sri Aman, Petaling Jaya), Khadijah Ahmad Jais (SM Agama Persekutuan, Labu), Akmal Hidayat Sabri (SMK Derma, Kangar), Syamilah Mahali (Kolej Tunku Kurshiah, Seremban), Amelia Lee Wei Ling (SMK Taman Melawati, Gombak), Nur Syuhadah Muhamad (SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Baharu) Lai Yin Kwin (SMK Tinggi Melaka), Corinne Gunn Huey Min (SMK Taman Melawati, Gombak), Hu May Khei (SMK Convent, Taiping); Muhammad Amal Aiman Mohd Yusof (MRSM Kota Baharu), Kuah Jia Ying (SMK Bukit Jambul, Pulau Pinang), Chean Chung Shen (SMK Methodist (ACS) Sitiawan), Ahmad Zhafir Zulkfli.Biasiswa itu diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2010 di Parlimen pada Oktober lepas sebagai ganjaran untuk pelajar yang cemerlang.Perdana Menteri juga berkata pemilihan adalah berdasarkan merit dan penerima biasiswa akan dapat melanjutkan pelajaran ke universiti terkenal dunia.Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu, pelajar-pelajar yang ditawarkan biasiswa itu akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat persediaan dalam negara yang telah ditetapkan oleh kerajaan.Setiap pelajar dikehendaki mencapai tahap kecemerlangan yang ditetapkan semasa di peringkat persediaan bagi melayakkan mereka meneruskan pengajian di luar negara.Mulai tahun ini, kerajaan telah memutuskan untuk menaja pelajar lepasan SPM yang paling cemerlang mengikuti pengajian ke universiti-univeriti terkemuka di peringkat ijazah pertama di dalam dan luar negara."Program penajaan ini bertujuan untuk menyediakan biasiswa yang berprestij untuk pelajar-pelajar lepasan SPM yang paling cemerlang dalam melahirkan modal insan yang berkualiti untuk menjamin kesinambungan keupayaan negara pada masa akan datang," menurut kenyataan itu.Pelajar terbaik SPM 2009 Gladys Tan, selepas menerima keputusan peperiksaan itu pada 11 Mac lepas, berkata beliau bercita-cita menjadi seorang pensyarah dalam bidang kaji hayat atau yang berkaitan dengannya. - BERNAMA