IPOH: Kesemua 28 wakil rakyat pembangkang keluar meninggalkan sidang Dewan Undangan negeri (DUN) Perak hari ini kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat yang masuk hari kedua.Semua wakil daripada pakatan pembangkang meninggalkan dewan kira-kira sejam selepas persidangan bermula pada 10 pagi. Sebelum itu, sebaik sidang bermula dengan sesi soalan lisan, wakil-wakil pembangkang membuat kecoh membantah Speaker Datuk R. Ganesan sebagai tidak sah.Sepanjang sesi berkenaan, wakil rakyat pembangkang terus membuat bising dan tidak mengambil bahagian bagi mengemukakan soalan hingga sesi berlangsung kira-kira 10.45 pagi. Hanya wakil Barisan Nasional mengemukakan soalan bagi sesi itu.Bercakap pada sidang akhbar di luar dewan, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Pasir Panjang daripada PAS, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata wakil rakyat pakatan pembangkang meninggalkan dewan kerana Ganesan gagal memainkan peranannya sebagai Speaker dan tidak mengikut Perintah Tetap.Sementara itu, Datuk Shaahrani Mohamad (BN-Rungkup) mencadangkan supaya gelaran Datuk Seri dan Datuk yang masing-masing dikurniakan kepada Mohammad Nizar, yang juga bekas Menteri Besar, serta Adun Sitiawan daripada DAP Datuk Ngeh Koo Kam dilucutkan oleh Istana Perak.Ketika membahaskan usul menjunjung kasih atas titah ucapan perasmian sidang dewan oleh Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah, beliau turut meminta supaya undian dibuat terhadap usul yang dikemukakannya itu. - BERNAMA