suria

Bekas Pelajar IKTM Dipenjara 10 Tahun Kerana Miliki Heroin

KOTA BAHARU: Seorang bekas pelajar Institut Kemahiran Tinggi MARA (IKTM) Lubok Jong, Pasir Mas dihukum penjara 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana kesalahan memiliki heroin dua tahun lepas.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Faizal Mohd Ghani, 27, mengaku bersalah atas tuduhan pindaan memiliki dadah itu mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang juga boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan tidak kurang 10 sebatan.

Bagaimanapun, Ahmad Zaidi membebaskan dan melepaskan teman wanita Mohd Faizal, Nurul Ezaty Mazlan, 22, daripada tuduhan dengan niat bersama memiliki dadah tersebut selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan itu.

Mohd Faizal dan Nurul Ezaty dituduh dengan niat bersama memiliki 34.4 gram heroin di pangkalan haram Mat Golok, Rantau Panjang, dekat sini pada 8.30 malam, 23 Jan, 2008.

Ahmad Zaidi ketika menyampaikan penghakimannya berkata mahkamah mengambil kira kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman itu kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.

"Ini sebagai satu pengajaran kepada mereka yang mahu terbabit dalam kegiatan ini," katanya dan memerintahkan Mohd Faizal menjalani hukuman itu dari tarikh tangkap.

Terdahulu, peguam yang mewakili Mohd Faizal, Datuk Shukri Mohamad ketika merayu hukuman ringan, berkata anak guamnya itu telah diupah sebanyak RM500 untuk membawa dadah itu dari Sungai Golok, Selatan Thailand.

"Tertuduh telah mengaku salah dan insaf atas perbuatannya selain ia merupakan kesalahan pertama tertuduh dalam kes dadah. Hukuman penjara antara lapan hingga 10 tahun adalah wajar jika diputuskan mahkamah," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Azimah Wan Yaakob bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berdasarkan kepada kepentingan awam dan bukannya atas dasar kepentingan peribadi selain kes itu adalah serius kerana membabitkan dadah.

Nurul Ezaty diwakili peguam Wan Jawahir Wan Haron. - BERNAMA

Artikel Lain