suria

T'ganu Digesa Sedia Peluang Pekerjaan Untuk Penduduk Khususnya Di ECER

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu diharap dapat menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi untuk penduduk negeri ini terutama di kawasan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Rosli Othman (BN-Kemasik) berkata, keutamaan perlu diberikan kepada golongan belia, sebagai satu cara membendung masalah sosial yang ditimbulkan golongan itu.

"Kita harap satu agensi khas ditubuhkan untuk mengurus pengambilan pekerja-pekerja terdiri dari anak tempatan ini terutama di kawasan perindustrian.

"Dengan peluang pekerjaan yang mencukupi, kita harap dapat dikurangkan masalah sosial yang ditimbulkan golongan belia ini," katanya ketika membahaskan usul terima kasih terhadap ucapan perasmian Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Katanya, perancangan pembangunan ECER di negeri itu melibatkan empat teras iaitu pendidikan, pelancongan, petrokimia dan pertanian dijangka menyediakan 70,000 peluang pekerjaan secara berperingkat sehingga tahun 2020.

Sementara itu, kerajaan negeri juga digesa supaya lebih agresif dalam memajukan sektor pelancongan terutama berkaitan sejarah yang sehingga kini masih lagi belum mencapai potensi sebenarnya.

Mohd Zawawi Ismail (BN-Kuala Berang) berkata, kerajaan negeri sepatutnya mempromosikan kawasan seperti Hulu Terengganu yang menyimpan pelbagai khazanah sejarah ketamadunan manusia.

"Kawasan seperti Hulu Terengganu sudah diiktiraf mempunyai banyak artifak sejarah. Di situ juga ada dijumpai pelabuhan terawal, selain penemuan Batu Bersurat yang menjadi penanda aras kedatangan Islam di negara kita.

"Saya sangat berharap kerajaan dapat memajukan pelancongan sejarah kerana apa yang dibuat setakat ini, nampaknya tidak bersungguh-sungguh, seperti hidup segan, mati tak mahu," katanya.

Beliau juga menyarankan supaya Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud atau lebih dikenali sebagai empangan Tasik Kenyir yang merupakan empangan hidro kedua terbesar di negara ini selepas Pergau, dikawal oleh anggota tentera berikutan kepentingannya daripada segi keselamatan.

"Sekarang ini empangan itu hanya dikawal oleh dua tiga orang pengawal keselamatan sahaja, nampaknya ia masih tidak mencukupi," katanya.

Persidangan dewan bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain