suria

2,000 Pelajar Sertai Program Selangkah ke Universiti

SERDANG: Seramai 2,000 pelajar daripada 100 buah sekolah di seluruh negara hari ini menyertai program ‘Selangkah ke Universiti’ anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI).

Yang Dipertua Bakti, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor berkata pelajar-pelajar yang terpilih merupakan mereka yang berpotensi untuk berjaya dalam bidang akademik.

“Program ini bermatlamat untuk mendedahkan pelajar-pelajar yang terlibat dengan kehidupan sebenar sebagai mahasiswa dan mahasiswi di universiti.

“Di harapkan pendedahan sebegini ia akan menjadi pendorong dan membakar semangat pelajar untuk lebih berusaha dalam pelajarannya agar dapat menjejakkan kaki ke menara gading,” katanya ketika berucap merasmikan pada majlis perasmian program berkenaan di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalannya, Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha R. Abdullah.

Menurut Rosmah, program sehari bersama UPM itu merupakan sebahagian daripada program aktiviti kemasyarakatan BAKTI dalam usaha mewujudkan masyarakat yang berpengetahuan, terdidik dan cemerlang.

“Melalui program ini, adalah diharapkan ia dapat membantu para pelajar mengenal pasti bidang pengkhususan yang diceburi selepas tamat persekolahan.

“Dengan ini, pelajar akan sedikit sebanyak dapat memberi tumpuan terhadap bidang yang diceburi kelak,” katanya.

Beliau yang juga isteri Perdana Menteri berkata, program tersebut juga dapat memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai teknik-teknik yang berkesan dalam menghadapi peperiksaan.

“Para pelajar seharusnya menanam tekad bukan sahaja untuk bergelar ‘warga kampus’, tetapi yang lebih penting untuk mengenggam segulung ijazah dengan keputusan yang cemerlang.

“Ingin saya berpesan kepada pelajar sekalian, ‘jika anda berhasrat untuk berjaya, jangan hanya memandang ke tangga tetapi berjalanlah untuk menaiki tangga tersebut’,” katanya.

Jelasnya, penuntut di IPTA wajar menganggap tugas membimbing pelajar program tersebut sebagai satu tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat.

“Namun, apa yang penting, dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan, kita hendaklah mengenepikan sola warna kulit, asal usul mahupun pengangan agama. Ini hendaklah dilakukan dengan semangat 1Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, kementeriannya akan memberikan komitmen terbaik dalam usaha menjayakan program ‘Selangkah ke Universiti’ini.

“Kita perlu terus memperkukuhkan usaha kita untuk menanam cita-cita di kalangan generasi muda kita untuk melanjutkan pengajian ke universiti.

“Justeru, saya berharap program ini dapat membantu dan mendekatkan masyarakat dengan universiti,” katanya.

Selangkah ke Universiti merupakan sebuah program dengan pelajar yang terpilih akan dibawa ke universiti dan menjalani proses penerapan dan pendedahan kampus agar mereka lebih mengenali institusi pengajian tinggi berkenaan.

Kumpulan sasar bagi program tersebut adalah pelajar-pelajar yang tidak mempunyai ahli keluarga yang pernah menuntut di universiti dan pelajar yang berpotensi untuk mendapat keputusan yang cemerlang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain