KUANTAN: Dua remaja lelaki maut setelah motosikal yang ditunggangi masing-masing terbabas dalam kemalangan berasingan di sini pagi ini.Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt Zulkifli Taha berkata kemalangan pertama membabitkan seorang pelajar Tingkatan 3 di Km13, Jalan Kuantan-Gambang dekat sini pada kira-kira 4.55 pagi. Katanya, Mohd Fifie Hafizie Junaidi, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan, Taman Tas di sini meninggal dunia di tempat kejadian setelah motosikal yang ditungganginya terbabas lalu melanggar pembahagi jalan dan tiang lampu.Rakan pelajar itu yang merupakan pembonceng hanya cedera ringan dalam kemalangan itu, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.Katanya, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun turut maut apabila motosikal yang ditungganginya terbabas di Km21.5, jalan pintasan Sungai Ular-Jabor, dekat sini pada pukul 9.30 pagi.Zulkifli berkata Mohd Zaifuan Zakaria meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya hanya mengalami luka.Katanya, mayat kedua-dua remaja itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.