suria

17 Kes Jenayah, 43 Tangkapan Pelajar Asing Tahun Lepas

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 kes jenayah dan 43 tangkapan melibatkan penuntut asing dicatat di negara ini sepanjang tahun lepas, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini pula terdapat 14 kes yang melibatkan 22 tangkapan.

"Jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan indeks jenayah pada tahun lepas yang berjumlah 209,417, kes yang melibatkan pelajar asing adalah sebanyak 0.008 peratus sahaja. Manakala bagi tempoh yang sama tahun ini, jumlah indeks jenayah adalah 45,805 kes dengan 0.03 peratus melibatkan pelajar asing," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Tan Sri Jins Shamsudin yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah statistik kes jenayah di negara ini yang melibatkan penuntut antarabangsa dan apakah tindakan kerajaan terhadap penuntut yang terlibat.

Abu Seman berkata, polis sentiasa melakukan pemantauan terhadap penuntut asing di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Imigresen.

"Pihak IPT juga diminta memberi penerangan kepada pelajar khususnya pelajar asing mengenai peraturan dan undang-undang selama mereka mengikuti pengajian di negara ini selain mengenai tatasusila dan budaya yang perlu diamalkan," katanya.

Abu Seman berkata, tindakan itu dijalankan secara berterusan bagi memastikan penuntut asing mematuhi dan menyesuaikan diri dengan budaya masyarakat Malaysia.

Menjawab soalan sama ada kerajaan akan menghantar pulang penuntut asing yang terlibat dalam gejala sosial dan jenayah, Abu Seman berkata jika sabit kesalahan, mereka akan dikenakan hukuman setimpal mengikut undang-undang.

"Lepas jalani hukuman baru akan diusir," katanya.

Mengenai mekanisme Kementerian Dalam Negeri bagi mengelakkan kes 'kehilangan' penuntut asing apabila pengajian bermula, Abu Seman berkata pihak IPT perlu lebih fokus untuk memastikan perkara ini tidak berlaku.

"Soal kawalan adalah di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. KDN sebagai kementerian yang jaga keselamatan akan ambil tindakan apabila berlakunya aktiviti jenayah dan lain-lain yang melanggar undang-undang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain