suria

Akta Sewa Beli Islam Akan Diwujudkan - Lian Hoe

KUALA LUMPUR Kerajaan bercadang mewujudkan satu akta sewa beli baru yang mengambil kira ciri-ciri Islam, dikenali sebagai Akta Sewa Beli Islam.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berkata langkah itu diambil memandangkan ciri-ciri sewa beli Islam tidak sesuai untuk digabungkan di bawah Akta Sewa Beli sedia ada yang mengandungi ciri-ciri sewa beli konvensional.

"Cadangan akta baru tersebut sedang dalam proses penyediaan draf dan beberapa siri konsultasi bersama pihak institusi kewangan dan Majlis Penasihat Syariah telah diadakan bagi penyedian draf akta tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata draf akta tersebut dijangka dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini.

Sementara itu, Tan berkata dakwaan bahawa petrol RON95 menjadi punca kebakaran kereta kerana kandungan benzin yang tinggi adalah tidak tepat dan tidak berasas.

Katanya petrol RON95 adalah bahan bakar yang mematuhi spesifikasi EURO 2M (EURO-2M merupakan standard dalam pembebasan sulfur dioksida ke udara) di mana di bawah spesifikasi itu, maksimum lima peratus benzin sahaja dibenarkan.

"Petrol RON95 di Malaysia mematuhi standard negara ini dan ciri-ciri bahan bakar itu juga telah dikawal berdasarkan spesifikasi yang sesuai untuk negara ini," katanya.

Beliau berkata kebanyakan kenderaan pada masa ini juga menggunakan teknologi yang direka bentuk sesuai dengan petrol RON95.

"Negara-negara pengeluar kenderaan utama dunia juga seperti Jepun dan Amerika Syarikat turut menggunakan RON95, dan di Eropah penggunaan RON95 melebihi 80 peratus daripada keseluruhan penggunaan petrol dan menjadi bahan bakar utama," katanya.

Kerajaan memutuskan penggunaan petrol RON95 sebagai produk petrol utama pada 1 Sept tahun lepas dan mengeluarkan petrol RON92 daripada pasaran.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya memberitahu sidang dewan bahawa jawatan Ketua Setiausaha Negara (KSN) adalah jawatan terbuka.

"Jawatan tersebut tidak akan memberi kesan terhadap kenaikan pangkat kepada pegawai lain di sektor awam. Jawatan KSN adalah berstatus terbuka dan bukannya untuk tujuan kenaikan pangkat," katanya menjawab soalan Senator Datuk Akbar Ali.

Mengenai soalan sama ada kerajaan bercadang untuk melanjutkan tempoh khidmat Anggota Dewan Negara daripada tiga tahun kepada lima tahun, Liew berkata sehingga kini kerajaan melihat tempoh tiga tahun sudah memadai.

"Bagi yang mencadangkan supaya elaun Ahli Dewan Negara dinaikkan, cadangan berkenaan boleh diberikan pertimbangan sewajarnya," katanya.

Persidangan dewan disambung esok. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertahan Nik Aziz

Artikel Lain