suria

Adun Batu Lintang Nafi Dakwaan Keluar DAP

KUCHING: Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang mendakwa anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang Voon Lee Shan akan keluar DAP dan menjadi Adun Bebas mencetuskan keterujaan di kalangan wakil media di sini.

SMS dalam Bahasa Malaysia itu tersebar luas di kalangan wakil media, termasuk yang membuat liputan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu hari ini, menyebut: 'ADUB Batu Lintang akan keluar DAP dan menjadi wakil bebas? Tunggu sidang akhbar YB Voon Lee Shan di Pusat Khidmat Batu Lintang'.

Ternyata SMS itu palsu.

Semasa dihubungi Bernama, Voon menafikan ada memanggil sidang akhbar untuk mengumumkan peletakan jawatannya sebagai wakil rakyat DAP di pusat khidmat itu dan malahan bertanyakan kepada wakil media di mana mereka menerima jemputan untuk menghadiri sidang akhbar yang kononnya akan diadakan beliau itu.

Sambil menafikan isi kandungan SMS itu, beliau menegaskan yang beliau masih bersama DAP.

Pada Mac tahun ini, dilaporkan jawatankuasa disiplin DAP telah menggantung keanggotaan Voon selama enam bulan, berkuatkuasa 17 Mac.

Jawatankuasa itu yang dipengerusikan Naib Pengerusi DAP Tan Kok Wai, dipetik sebagai berkata keputusan sebulat suara dicapai selepas mengambil kira aduan yang dibuat terhadap Voon kerana membuat kenyataan yang mencemarkan imej parti.

Voon, seorang pegawai polis sebelum menceburi politik, menang dalam pilihan raya negeri 2006 menewaskan calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Chan Seng Khai dengan majoriti 3,407 undi.

Artikel Lain