suria

Walaupun Kalah BN Tetap Tunaikan Janji Di Sibu : Muhyiddin

PUTRAJAYA: Barisan Nasional akan tetap menunaikan semua janji yang dibuatnya kepada penduduk Sibu semasa kempen pilihan raya kecil di situ minggu lepas walaupun calonnya telah kalah kepada calon DAP, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata ini kerana kerajaan tidak melihat pilihan raya kecil itu sebagai satu titik kesudahan terhadap dasar-dasar yang dilaksanakannya.

"Segala apa yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri atau saya atau mana-mana pemimpin BN sebelum itu, kita akan tunaikan.

"Sebahagian telahpun ditunaikan sama ada ia melibatkan masyarakat Iban, Melayu, Melanau, bumiputera atau Cina, dan sama ada Muslim atau Kristian dan sebagainya, itu kita tidak membeza-bezakan.

"Mana yang kita sudah beri pengakuan, kita akan terus tunaikan. Kita tidak melihat pilihan raya kecil itu sebagai satu titik kesudahan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kegagalan BN untuk mempertahankan kerusi Parlimen Sibu apabila calonnya Robert Lau Hui Yew tewas kepada calon DAP Wong Ho Leng dengan majoriti 398 undi pada pilihan raya kecil itu semalam.

Muhyiddin berkata walaupun kecewa dengan keputusan itu tetapi BN menerimanya kerana ia adalah pilihan rakyat.

Katanya BN akan meneliti punca kekalahan itu dan mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin BN di Sarawak.

"Kita nak nilai dari segi prestasi jentera yang ada, di samping pendekatan yang kita gunakan.

"Sebelum ini, dikatakan di Sarawak, suasananya tidak serupa di Semenanjung tetapi daripada apa yang kita lihat, ia tidak berbeza dari segi sentimen, kehendak pengundi.

"Dengan sebab itu, pendekatan yang akan digunakan pastinya adalah yang lebih sesuai. Apa pun hari ini, kita akan ambil perhatian," katanya.

Di KUCHING, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata BN menerima kekalahan itu dengan hati terbuka dan keputusan itu harus dihormati kerana ia merupakan pilihan rakyat.

Taib, yang juga pengerusi BN negeri, berkata pilihan raya itu dijalankan dengan cukup adil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya kekalahan itu tidak seharusnya menjadi kayu ukur kepada situasi sebenar tentang sokongan rakyat Sarawak kepada BN setakat ini. - BERNAMA

Artikel Lain