suria

Zulkifeli Dilantik Secara Rasmi Sebagai PTD Baru

KUALA LUMPUR: Datuk Zulkifeli Mohd Zin hari ini dilantik secara rasmi sebagai Panglima Tentera Darat yang baru bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin yang akan bersara wajib.

Beliau yang sebelum ini merupakan Timbalan PTD, juga dinaikkan pangkat dari Leftenan Jeneral ke Jeneral.

Pemakaian pangkat tersebut disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini yang turut menyaksikan serah terima tugas antara Muhammad Ismail dan Zulkifeli di Kementerian Pertahanan.

Zulkifeli, 56, merupakan anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan, merupakan PTD ke-23 dalam sejarah tentera darat.

Beliau yang merupakan lulusan Maktab Turus Angkatan Tentera dan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera juga pernah menerima latihan kadet di Akademi Militari Sandhurst di Britain pada 1974.

Pada 9 Oktober 2004, Zulkifeli diberi kepercayaan untuk menerajui Misi Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao sebagai komander selama setahun.

Beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Timbalan PTD apabila Muhammad Ismail mengambil alih sebagai PTD pada Jun 2008. Muhammad Ismail akan bersara wajib pada 21 September ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan berbincang dengan PTD baru terutama dalam beberapa aspek antaranya kebajikan anggota dan pegawai termasuk memperincikan cadangan penyelarasan gaji anggota dan pegawai seperti mana yang dinikmati oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kakitangan awam yang lain.

"Saya yakin beliau mampu menyambung kecemerlangan yang dilakukan oleh PTD-PTD sebelum ini dan aspek kebajikan perlu menjadi keutamaan untuk kesejahteraan anggota dan pegawai," katanya kepada pemberita. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain