JOHOR BAHARU: Sebanyak 35 kedai di Jalan Teik Wah Heng, Pekan Layang-Layang, dekat Kluang musnah dalam satu kebakaran, pagi tadi.Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Hamid Suari berkata kebakaran melibatkan deretan kedai separuh papan dan batu itu berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi. "Kebanyakan bangunan kedai adalah bangunan lama termasuk kedai kopi dan kedai peralatan elektrik," katanya ketika dihubungi.Hamid berkata pihaknya menerima panggilan kebakaran pada kira-kira pukul 5.47 pagi sebelum lima jentera bomba melibatkan Simpang Renggam, Kluang, Pontian, Kulaijaya dan Rengit berjaya mengawal kebakaran pada pukul 7.30 pagi.Bomba, katanya, menghadapi kesukaran memadamkan asap dari bara kebakaran ekoran masalah tekanan air yang rendah.Katanya, dinding yang diperbuat daripada papan dan deretan kedai yang bersambung memudahkan api merebak dengan cepat.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Fawzi Arshad ketika dihubungi berkata siasatan mengenai kejadian sedang dijalankan."Tiada sebarang unsur khianat yang boleh dikaitkan dengan kebakaran itu. Kebakaran itu juga tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kematian," katanya.Jumlah kerugian belum dapat dipastikan. - BERNAMA