KUALA LUMPUR: Akta beberapa agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan dipinda mengikut kesesuaian pasaran semasa selaras dengan Model Baru Ekonomi (MBE), kata Menteri berkenaan Datuk Noh Omar semalam.Beliau berkata, langkah itu merupakan antara persediaan untuk melaksanakan Dasar Pertanian Negara keempat bermula Januari tahun depan. "Saya meminta agensi-agensi kementerian ini yang ditubuhkan pada tahun 60-an agar melihat semula akta mereka kerana pada waktu agensi itu ditubuhkan adalah bersesuaian dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) tapi kini harus diubah sejajar dengan MBE," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Juara Rakyat, NGO dan Swasta Umno Bahagian Wangsa Maju di sini semalam.Noh berkata, industri pertanian merupakan satu daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dikenal pasti sebagai asas dalam memastikan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) (2011-2015) berjaya, akan diumum pada Oktober nanti.Justeru, katanya Dasar Pertanian Negara keempat akan menumpu kepada masalah kekurangan tanah untuk tujuan pertanian serta masalah lain berkaitan.Noh berkata, industri pertanian bakal berhadapan dengan masalah kekurangan tanah dan juga cuaca yang tidak menentu yang mengganggu pertumbuhan produk pertanian.Bagaimanapun katanya, perkara itu dapat diatasi sekiranya program pertanian dalam bandar mendapat sokongan masyarakat.Dalam ucapannya Noh berkata, pihak kementerian sedang memikirkan untuk memulakan program penanaman sayur-sayuran tanpa tanah di rumah pangsa secara kecil-kecilan dan berharap penduduk penduduk Wangsa Maju dapat menjadi perintis program itu."Kita buat kecil-kecilan untuk setiap rumah, tapi apabila jumlah yang kecil ini dikumpulkan oleh setiap isi rumah dalam rumah pangsa pasti jumlahnya mampu kita buat jualan borong," katanya.Noh berkata, program demikian memerlukan kerjasama padu daripada setiap penghuni untuk memastikan bekalan makanan berasaskan pertanian berterusan pada masa akan datang. - BERNAMA