KOTA BARU: Gara-gara terlalu lantang mengkritik parti, perwakilan PAS Temerloh, Amirruslan Manaf terpaksa menarik balik kenyataannya yang mendakwa Perlembagaan PAS yang ada semalam diciplak daripada Perlembagaan Umno.Dakwaannya bahawa PAS hanya melakukan penambahbaikan daripada apa yang dilakukan Umno mengikut kesesuaian parti tidak disenangi para perwakilan. Bagaimanapun, dia menarik balik kenyataannya itu apabila diminta oleh Timbalan Pengerusi Tetap, Hussin Ismail kerana wujudnya gesaan daripada para perwakilan yang mempersoalkan kesahihan dakwaan yang dianggap tidak berasas.Ketika membahaskan usul memperkasakan parti yang dikemukakan Dewan Ulama PAS, Amirruslan berkata, asas kepada dakwaannya itu dapat dilihat apabila beberapa dasar yang diamalkan PAS seperti memberi sepenuh kuasa kepada Presiden parti sama seperti apa yang diamalkan Umno."Konsep ini diciplak, maka tidak dinafikan Perlembagaan PAS kita diciplak dari Umno, cuma kita tambah perkataan 'Islam'," katanya di sini hari semalam.Malah beliau yang tidak bersetuju dengan cadangan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar agar jumlah jawatan Naib Presiden ditambah kepada lima dengan memberi kuasa kepada Presiden untuk melantik dua kerusi bagi jawatan itu dengan berkata, PAS adalah sebuah parti yang tidak mengikut perubahan rakyat.Sebaliknya beliau menyifatkan Umno lebih kehadapan dalam soal perubahan apabila memberi peluang kepada kira-kira 380,000 ahlinya untuk memilih Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden parti."Idea Datuk Mahfuz seolah-olah memberikan kuasa penuh kepada Presiden dan jawatankuasa PAS Pusat, ini sesuatu yang tidak mengikut perubahan rakyat."Kita mestilah menerima perubahan yang berlaku supaya parti bergerak dengan kehendak ahli, bukannya dengan kuasa 'orang-orang Presiden'," katanya.