suria

Usul Bincang Tindakan Roboh Penjara Pudu Ditolak

KUALA LUMPUR: Usul Anggota Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun dari DAP, memohon persidangan Dewan Rakyat membahaskan kedudukan tembok Penjara Pudu yang belum diruntuhkan, ditolak.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika menolak usul berkenaan berkata walaupun usul itu adalah perkara tertentu dan berkepentingan orang ramai, ia bukan sesuatu yang perlu disegerakan.

"Saya menolak usul ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18(2) kerana perkara ini sudah dibangkitkan oleh empat Anggota Parlimen ketika sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) oleh kementerian yang berkaitan," katanya.

Pandikar Amin berkata menteri berkenaan juga sudah memberikan jawapan terhadap perkara yang dibangkitkan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading), Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dan Dr Lo'Lo' Mohamad Ghazali (PAS-Titiwangsa) dan Fong sendiri.

Fong dalam usulnya antara lain meminta supaya saki-baki tembok Penjara Pudu yang belum diruntuhkan, dikekalkan sebagai warisan sejarah.

Katanya Penjara Pudu mempunyai nilai sejarah dan boleh menjadi tapak warisan kerana berusia 115 tahun.

Tembok di sebelah bahagian Jalan Pudu dirobohkan pada 21 Jun lalu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membolehkan kerja-kerja pelebaran dan laluan bawah tanah di Jalan Pudu dilaksanakan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain