suria

Anggota Polis Parah Selepas Dilanggar Dari Belakang

KANGAR: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera parah apabila motosikal yang ditungganginya dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta di Km 14.8 Jalan Kangar-Alor Setar berhampiran persimpangan Permatang Bongor dekat sini semalam.

Pegawai Turus Trafik Perlis, ASP Rosli Yahaya berkata Lans Korporal Kamarulzaman Mohd Yusof, 50, yang bertugas di Balai Polis Simpang Empat sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ketika kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12.15 malam.

Anggota polis itu cedera parah di bahagian kepala dan pemandu kenderaan yang melanggarnya melarikan diri.

Mangsa kini di rawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tuanku Fauziah di sini manakala pemandu kereta itu masih dikesan polis.

Beliau berharap orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil membuat laporan di balai polis berhampiran. - BERNAMA

Artikel Lain