suria

Bukti Sikap Sebenar Anwar Adalah Jelas - Muhyiddin

BATU PAHAT: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan beberapa tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak akhir-akhir ini merupakan suatu pengkhianatan kepada bangsa kerana ia telah menyebabkan perpecahan di kalangan orang-orang Melayu.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, orang Melayu perlu sedar tentang tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana bukti mengenainya adalah amat jelas.

"Buktinya (tindakan Anwar) adalah amat jelas. Rakyat perlu sedar tentang sikap berdolak-dalik dan pembohongan yang dilakukan oleh beliau, yang telah menyebabkan perpecahan dan keretakan di kalangan orang Melayu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Batu Pahat, yang turut dihadiri oleh ketua bahagiannya Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga Timbalan Menteri Pelajaran.

Sebelum ini, Anwar bermuka-muka kononnya menjadi pejuang rakyat negara ini dengan mengutuk APCO Worldwide sebagai penceroboh zionis tetapi tembelangnya didedahkan oleh akhbar Washington Post dalam lawatannya ke Amerika Syarikat untuk bertemu dan meminta maaf dari rakan-rakannya di negara itu selepas terbabit dalam demonstrasi besar-besaran di depan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur sebelum itu dengan mengecam Israel sebagai penceroboh zionis.

Muhyiddin berkata, bukti mengenai hubungan baik Anwar dengan pemimpin-pemimpin Zionis dan Yahudi di Amerika Syarikat juga adalah jelas untuk dinilai oleh rakyat dan orang Melayu.

Timbalan Perdana Menteri berkata hubungan baik Anwar dengan rakan-rakan Yahudi dan Zionisnya, telah pun diketahui oleh orang ramai sejak daripada dahulu lagi.

"Dia ada banyak kawan-kawan (Zionis dan Yahudi) di sana (Amerika Syarikat) sejak daripada dahulu lagi," katanya, merujuk kepada laporan media tentang kunjungan penasihat PKR itu ke Amerika Syarikat baru-baru ini untuk bertemu dan meminta maaf dengan pemimpin Zionis negara itu.

Akhbar The Washington Post baru-baru ini melaporkan mendedahkan bahawa Anwar berada di Washington pada 23 hingga 26 Jun lepas bagi "menjernihkan" hubungan dengan kelompok Yahudi itu.

Kunjungan Anwar itu dibuat selepas penasihat PKR itu yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan ramai tokoh Yahudi itu membuat kenyataan yang dilihat sebagai anti-Yahudi di dalam isu Apco Worldwide.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan di antara Datuk Zaid Ibrahim dan Raja Petra Kamaruddin di London baru-baru ini, Muhyiddin berkata, ia menunjukkan hubungan yang jelas di antara PKR dengan penulis portal berita Malaysia Today yang sedang diburu oleh polis.

"Ia menunjukkan hubungan yang jelas di antara PKR dan Zaid Ibrahim," katanya sambil menambah, pemimpin PKR itu perlu tampil ke depan untuk menjelaskan hubungannya dengan Raja Petra itu.

Terdahulu di dalam ucapan perasmiannya, Muhyiddin mengingatkan anggota Umno bahawa mereka mempunyai tempoh tidak lebih daripada dua tahun untuk melakukan perubahan dan persedian bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

"Perubahan atau transformasi perlu dilakukan dengan cepat kerana kita tidak mempunyai masa yang mencukupi," katanya sambil menambah bahawa anggota UMNO perlu bergerak dengan segera dalam melaksanakan perubahan yang dituntut.

Timbalan Presiden Umno itu juga berkata, anggota Umno perlu melakukan perubahan kerana lanskap serta senario politik negara pada ketika ini telah jauh berubah hasil daripada keputusan pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

Katanya, perubahan itu perlu dilaksanakan untuk memulihkan perpaduan di kalangan orang Melayu yang berpecah kepada tiga golongan dan memastikan mereka kembali menyokong Umno serta perjuangannya. - BERNAMA

Artikel Lain