PETALING JAYA: Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Abdul Samad menyifatkan Ahli Parlimen Bebas dari Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin sebagai seorang pembohong, parasit dan gila talak apabila baru-baru ini mengakui menghadiri beberapa program ceramah dan forum anjuran PAS.Menurut Khalid, tindakan bekas Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terus menerus mengaitkan dirinya dengan PAS bertujuan mendapatkan 'talian hidup' demi survival politiknya. "Sekarang ini terus menerus mendakwa dirinya sebagai ahli PAS walaupun PAS menafikannya, bertambah kronik kes ini kerana beliau bukan sahaja pembohong dan parasit, ditambah pula gila talak."Kononnya banyak program bersama PAS, tapi bak kata pepatah, sekali pembohong, sentiasa pembohong dan tiada contoh yang lebih jelas dan lebih nyata akan kebenaran kata-kata ini selain dirinya," katanya di sini pada Ahad.Menulis dalam entri terbaru blognya, www.khalidsamad.com beliau mendakwa, sikap tidak konsisten Zulkifli dalam prinsip perjuangannya jelas demi kepentingan politiknya."Beliau berpindah parti, dari parti Islam (PAS) ke parti yang lain sambil mendabik dada sebagai seorang pejuang Islam, semata-mata kerana tidak boleh bertanding di atas tiket PAS."Apakah prinsip perjuangannya kalau tidak kerana kedudukan dan kepentingan diri sendiri? Satu sifat yang jelas terbukti untuk semua melihatnya," katanya.Sebelum ini Zulkifli melalui blognya berkata beliau telah menghadiri beberapa program anjuran PAS walaupun kini menjadi Ahli Parlimen Bebas.Kenyataannya itu dibuat bagi menafikan dakwaan bahawa beliau dan seorang lagi wakil rakyat Bebas iaitu Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim kononnya mereka akan terlibat dalam program jelajah Umno Selangor untuk mendedahkan sandiwara pakatan pembangkang di negeri itu.Selain itu Khalid yang juga Pesuruhjaya PAS Shah Alam berkata, Zulkifli juga seringkali menumpang populariti Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai peguam sewaktu beliau masih bersama parti itu."Dirinya tidak pernah berperanan di mahkamah atau berucap di hadapan hakim untuk membela Datuk Seri Anwar, tetapi hanya menumpang popularitinya (Anwar) untuk hidup."Ini bolehlah diibaratkan seperti parasit yang mendapat talian hidup dari yang ditumpang, tetapi pada masa yang sama mendatangkan mudarat pada yang ditumpangnya itu... dan sebagai parasit, menggigit kembali (orang) yang membantunya untuk terus hidup adalah perkara biasa," katanya.Dalam pada itu tegas Khalid, PAS dan PKR tidak akan menerima Zulkifli untuk kembali bersama mereka sebaliknya hanya mahu melihat masa depannya selepas pilihan raya umum ke-13 akan datang."Ada satu kebenaran lagi yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak iaitu PAS tidak mahukannya, PKR juga telah memecatnya (atau menendangnya keluar kalau ikut kata orang Kedah)."Umno pula tidak teringin untuk menerimanya... oleh yang demikian, pada PRU ke-13 ingin kita saksikan ke mana beliau bersama empat lagi (ahli Parlimen Bebas) yang sekapal dengannya membawa diri," katanya.Khalid dan Zulkifli sebelum ini pernah berperang mulut dengan masing-masing mencabar agar keluar parti ekoran polemik penggunaan kalimah Allah awal Januari lalu.Ekoran itu, Majlis Pimpinan Tertinggi PKR sebulat suara memecat Zulkifli selepas lembaga disiplin parti itu mengambil kira tindakannya membuat laporan polis terhadap Khalid berkenaan isu kalimah Allah dan kritikan beliau terhadap kepimpinan DAP.