suria

Zul Noordin: Permit Suara Keadilan Tak Patut Digantung Tapi...

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bebas dari Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin membidas Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana menggunakan undang-undang untuk menyekat penerbitan Suara Keadilan dengan tidak memperbaharui permit lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Menurut beliau, tindakan menggantung atau membatalkan permit penerbitan akhbar berkenaan merupakan satu penganiayaan kepada golongan pekerja yang mungkin tidak terlibat dalam pembohongan atau penipuan yang berlaku.

"Menggantung atau membatalkan permit sesuatu penerbitan akan menyebabkan ramai orang teraniaya termasuk para pekerja dan kakitangan yang mungkin tidak terbabit bersekongkol dengan pembohongan atau penipuan," katanya di sini, Selasa.

Menerusi entri terbarunya dalam blog zul4kulim.blogspot.com, bekas ahli Parlimen PKR itu berkata, KDN seharusnya tidak mengenakan tindakan secara keseluruhan kepada penerbitan tersebut sabaliknya hanya kepada pihak yang berkaitan.

"Pada pendapat saya sekiranya benar akhbar tersebut melakukan pembohongan atau penipuan, tindakan hendaklah diambil terhadap editornya, penulisnya ataupun wartawan yang terlibat, bukan dengan menggantung atau membatalkan permit penerbitan tersebut.

"Kalau setelah siasatan oleh pihak berkuasa ataupun polis dibuat, didapati ada kes untuk diambil tindakan atas pembohongan atau penipuan oleh akhbar tersebut, maka tindakan pertuduhan jenayah atau yang bersesuaian hendaklah diambil terhadap editornya (kerana menyiarkannya), penulisnya (kerana menulisnya)," katanya.

Jelas beliau lagi, kaedah berkenaan akan memberi pengajaran kepada pihak editorial penerbitan itu supaya lebih beretika dan amanah dalam menyiarkan berita.

"Kecuali sekiranya sudah terbukti sesuatu penerbitan itu memang menjadikan pembohongan dan penipuan suatu kelaziman penerbitan mereka dan setelah diberi amaran dan peringatan berulang kali, maka barulah pihak kementerian menimbang untuk menggantung atau membatalkan permit setelah mereka diberi peluang untuk membela diri," katanya.

KDN sebelum ini memutuskan permit penerbitan Suara Keadilan yang tamat 30 Jun lalu tidak diperbaharui mengikut Seksyen 5(1) Akta Penerbitan dan Mesin Cetak.

Suara Keadilan pada keluaran bertarikh 22 hingga 26 Jun lalu telah menyiarkan berita utama muka depan bertajuk 'Felda Bangkrap' dan empat lagi artikel berkaitan dalam keluaran yang sama.

Ekoran itu, Felda telah memutuskan untuk menyaman Suara Keadilan sebanyak RM200 juta.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain