suria

Wanita Asing Cuba Jual Bayi Di Kuching

KUCHING: Polis menyelamatkan seorang bayi perempuan yang berusia tiga minggu setelah memberkas seorang wanita asing yang dikatakan cuba memperdagangkan bayi tersebut di MJC New Township, Batu Kawah di sini, Selasa.

Difahamkan bayi tersebut mahu dijual oleh wanita berkenaan dengan harga RM10,000. Wanita berkenaan yang berusia lingkungan 30-an didapati memasuki Sarawak sebulan lalu tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Dia kini ditahan reman selama 14 hari untuk disiasat lanjut.

Kes ini terbongkar hasil maklumat orang awam kepada pihak polis di mana berikutan itu seorang anggota polis wanita telah dihantar untuk menyamar bagi membeli bayi itu daripada wanita berkenaan.

Wanita tersebut bersetuju untuk menujukkan bayi tersebut kepada anggota polis yang menyamar itu di tempat kejadian kira-kira 9 malam.

Setelah menunjukkan bayi itu, wanita berkenaan terus ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC II Huzir Mohamed berkata polis sedang menyiasat sama ada bayi berkenaan adalah anak kandung wanita asing tersebut atau sebaliknya.

Wanita itu kini dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk menjalani pemeriksaan. -BERNAMA

Artikel Lain