suria

Bapa Saman 3 Anak Kandung RM2 Juta

SHAH ALAM: Seorang bapa memfailkan saman menuntut ganti rugi lebih RM2 juta daripada tiga anaknya kerana mendakwa dikurung dan dipaksa menandatangani surat akuan untuk menyerahkan dua lot tanah.

Baharom Long yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-85, Khamis, memfailkan saman tersebut di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 10.30 pagi menerusi peguam Muhd Azmi Talib.

Bekas pesara Keretapi Tanah Melayu Berhad itu menamakan tiga anaknya, Md Hanafiah, 55, Zakariah, 52, dan Musa, 50, sebagai defendan dalam saman tersebut.

Baharom yang bertindak selaku plaintif mempunyai dua lagi anak, iaitu Roslan, 48, dan Azizan, 44 tahun.

Berdasarkan penyataan tuntutannya, plaintif mendakwa telah dikurung dan dipaksa untuk menandatangani surat yang tidak diketahui isi kandungannya pada sekitar November 2007.

Plaintif seterusnya mendakwa, selepas dia memperoleh salinan surat itu didapati surat tersebut ialah surat akuan bersumpah berkenaan pembahagian dua lot tanah miliknya dan arwah isteri, Maimunah Husin yang meninggal dunia 10 tahun lepas.

Dua tanah yang didakwa tersebut terletak di Selayang Baharu dan Kampung Nahkoda, Jalan Sungai Tua, Batu Caves, dekat sini.

Justeru itu, plaintif mendakwa semua defendan telah secara bersama atau berasingan menipu dan memanipulasi kedudukannya untuk memaksa dia menandatangani surat akuan yang bertarikh 3 Disember 2007.

Kesan daripada perbuatan defendan-defendan, plaintif mendakwa dirinya mengalami trauma yang serius dan sentiasa berada dalam ketakutan apabila berada seorang diri serta menjadikannya seorang yang prejudis.

Plaintif juga mendakwa terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan psikologi akibat trauma yang menyebabkan dia kerugian wang ringgit.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk bernilai RM1 juta setiap satu serta ganti rugi khas RM16,000, faedah pada kadar 8 peratus bagi setiap ganti rugi sehingga penghakiman penuh serta kos.

Plantif juga memohon perintah untuk mahkamah mengisytiharkan bahawa surat akuan tersebut sebagai tidak sah dan turut dituntut ialah kos tindakan dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain