suria

Proton Sasar 2,500 Exora 1.6 CPS Dijual Sebulan

Syed Zainal bersama Exora 1.6 CPS semasa pelancaran semula model itu pada Khamis. Foto THE STAR Oleh ALIF FARHAN BADRUL HIDZAM.
Syed Zainal bersama Exora 1.6 CPS semasa pelancaran semula model itu pada Khamis. Foto THE STAR Oleh ALIF FARHAN BADRUL HIDZAM.
Syed Zainal bersama Exora 1.6 CPS semasa pelancaran semula model itu pada Khamis. Foto THE STAR Oleh ALIF FARHAN BADRUL HIDZAM.

SHAH ALAM: Proton Holdings Berhad (Proton) mensasarkan penjualan sebanyak 2,500 unit sebulan Exora 1.6 CPS yang dilancarkan pada Khamis.

Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan permintaan terhadap model terdahulu yang mencecah 33,000 unit sejak ia dilancarkan pada April tahun lalu.

Beliau berkata, dengan pengenalan reka bentuk terbaru kenderaan pelbagai guna (MPV) itu, Proton yakin dapat meningkatkan jualan model itu dan mensasarkan 28,690 unit Exora akan terjual menjelang tahun kewangan 2010-2011.

"Reka bentuk lama Exora secara purata telah berjaya dijual sebanyak 2,300 sebulan malah sebanyak 42,916 tempahan telah dibuat sejak ia dikeluarkan.

"Jadi kami yakin model terbaru ini dapat pembeli," katanya selepas memperkenalkan model terbaru Exora 1.6 CPS di sini dengan harga dari RM58,000 hingga RM76,000.

Dalam pada itu, Proton katanya turut merancang untuk mengeksport Exora ke luar negara dalam masa enam bulan akan datang sebagai langkah memperluaskan pasaran model itu ke peringkat antarabangsa.

"Buat permulaan, Insya-Allah kita mensasarkan untuk mengeksport Exora ke negara Asia Tenggara seperti Singapura, Indonesia dan Brunei sebelum melebarkan ke negara lain," katanya.

Dibuka tempahan bermula Khamis, selain warna perak, Exora 1.6 CPS hadir dalam empat pilihan warna lain iaitu putih, hitam, biru dan merah selain beberapa tambahan aksesori seperti rim tayar dan kemasan bercirikan mewah.

Sementara itu, Syed Zainal memberitahu, syarikat pembuat kereta nasional itu akan melancarkan model sedan baru bagi menggantikan Waja sebelum akhir tahun ini.

Katanya semua persediaan telah dibuat dan hanya menunggu masa sesuai untuk melancarkan model terbaru itu dan pengeluaran akan dilakukan di kilangnya di Shah Alam.

Menurut desas-desus pasaran, model baharu itu akan menampilkan ciri-ciri versi Mitsubishi Lancer 2.0 GT tetapi menggunakan enjin berkapasiti lebih kecil iaitu 1.8 liter.

Dipercayai ciri Mitsubishi dalam Proton adalah hasil daripada kerjasama kejuruteraan pembangunan antara Proton dengan Mitsubishi Motors Corporation, yang juga merupakan pemegang saham syarikat.

Dalam pada itu, Syed Zainal turut melancarkan kempen 'Drive for Celebration' bersempena ulang tahun Proton yang ke-25 tahun.

Pembeli yang menyertai kempen itu melalui beberapa pertandingan yang dijalankan dari 15 Julai sehingga 30 September tahun ini berpeluang memenangi sebuah Proton Pesona selain baucar pemeriksaan kenderaan percuma bernilai RM1,000.

Artikel Lain