suria

Amalan Teliti Jamin Survival FELDA : Yusof Noor

KUALA LUMPUR: Setiap aktiviti yang dijalankan oleh FELDA lebih-lebih lagi membuat pelaburan dilakukan dengan teliti dan konsisten bagi memastikan agensi itu terus bertahan di masa hadapan, kata pengerusinya Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Beliau berkata setiap pelaburan yang dibuat oleh FELDA adalah melalui satu jawatankuasa pelaburan yang akan mengkaji dan membuat keputusan mengenai setiap perancangan pelaburan itu.

"Dalam FELDA, tiada pelaburan yang boleh dibuat oleh individu. Ia perlu berdasarkan kajian oleh kumpulan profesional, barulah boleh buat keputusan. Sebab itu FELDA masih selamat, kalau tiada amalan macam ini tentulah FELDA tak boleh survive macam sekarang.

"Satu daripada faktor utama FELDA bertahan adalah amalan yang konsisten. Pelaburan yang dibuat setakat ini diyakini memberi pulangan yang baik, tiada yang jadi beban," katanya ketika ditemubual di ibu pejabat FELDA di sini.

Yusof berkata penubuhan FELDA Global Ventures Holdings Sdn Bhd juga adalah untuk mengembangkan sayap pelaburannya di luar negara dalam bidang seperti perladangan, hotel, hartanah dan katering.

"FELDA Global adalah langkah untuk cepatkan penyertaan kita dalam bidang pelaburan. Kalau lambat kita rugi, yang rugi generasi baru. Ini adalah langkah dasar untuk selamatkan FELDA di masa depan sebab pelaburan akan dirasai oleh generasi masa depan," katanya.

Yusof berkata FELDA mampu meraih pendapatan antara RM10 bilion dan RM15 bilion setahun bergantung kepada harga minyak sawit mentah.

"Sekurang-kurangnya sebanyak RM1 bilion merupakan keuntungan bersih," katanya.

Beliau berkata dakwaan kononnya FELDA bankrap adalah tidak benar dan hanya agenda politik semata-mata oleh pihak tertentu yang mahu mencari kesalahan kerajaan.

"Asas tuduhan itu politik, itu berita memeranjatkan, kita nak tahu bankrap apa? Kalau bankrap duit, kita ada duit, kalau tiada duit untuk bayar hutang, aktiviti FELDA bukan setakat bertahan tetapi bertambah. Kalau bankrap boleh ke buat?" katanya, merujuk kepada laporan akhbar Suara Keadilan, milik pembangkang, kononnya FELDA telah bankrap.

Yusof berkata kedudukan tunai FELDA juga mencecah RM1.5 bilion setahun untuk menampung operasi organisasi itu di mana kosnya mencapai RM500 juta setahun bagi mengekalkan aset seperti kilang minyak sawit.

"Kos pengurusan adalah RM500 juta setahun, tetapi ada kos-kos lain yang kita kena tanggung iaitu kerja sosial kerana tugas FELDA bukan hanya menguruskan ladang, tetapi kita juga membantu komuniti.

"Kalau kita nak uruskan FELDA sahaja kita dapat RM500 juta setahun cukuplah, tetapi kita kena ada lebih kerana hendak tolong peneroka dan masyarakat FELDA," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain