PUTRAJAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata larangan penjualan petrol RON 95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran negara asing tetap dilaksana pada 1 Ogos ini.Beliau berkata langkah itu bagi memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat negara ini. "Alasan bahawa mereka memerlukan masa tidak timbul kerana pengharaman penjualan itu tidak melibatkan sebarang perubahan pada stesen minyak dan memerlukan penggunaan duit."Bukan saya tidak mahu layan permintaan mereka, tetapi harap mereka faham hasrat kerajaan untuk memberikan subsidi itu hanya pada rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita, di sini Khamis.Beliau diminta mengulas permintaan Persatuan Penjual Petrol agar kerajaan melanjutkan tempoh pelaksanaan larangan itu selama sebulan bagi membolehkan pengusaha stesen minyak dan pemilik kenderaan asing menyesuaikan diri dengan peraturan tersebut. Ketika mengumumkan penyelarasan subsidi ke atas bahan api dan gula minggu lepas kerajaan turut berkata bermula 1 Ogos ini kenderaan bernombor pendaftaran asing hanya dibenar membeli petrol RON 97 yang tidak lagi diberi subsidi.Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata tempoh yang diberi oleh kerajaan itu adalah memadai untuk pengusaha stesen minyak melaksanakan peraturan tersebut memandangkan ianya tidak melibatkan perubahan besar.Sementara itu mengulas kenaikan harga gula, beliau berkata kenaikan sebanyak 25 sen bagi setiap kilogram itu tidak bertujuan membebankan rakyat di negara ini.Sebaliknya kata beliau, langkah tersebut bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat pada kalangan rakyat yang pada masa ini menggunakan bahan itu pada kadar yang tinggi."Sebab itu kerajaan cuma naikkan 25 sen sebab kami faham rakyat masih gunakan gula. Tapi apa yang perlu diubah ialah kurangkan pengambilan gula dalam makananan," katanya yang sebelum itu menemui persatuan pengguna, di sini.Beliau berkata langkah kerajaan itu turut disokong oleh persatuan pengguna yang bimbang dengan amalan hidup rakyat negara ini."Malah ada juga yang menganggap kenaikan ini terlalu rendah dan sepatutnya dinaikkan lebih tinggi lagi. Ada pula yang memberikan cadangan supaya subsidi gula dihapuskan," katanya. - BERNAMA