suria

Akta Perihal Dagangan Bakal Dipinda Bagi Tangani Penipuan

BERA: Akta Perihal Dagangan 1972 akan dipinda bagi membolehkan tindakan yang lebih tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga barang dan terbabit dalam penipuan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata draf pindaan akta itu sedang disiapkan Pejabat Peguam Negara dan kini berada di peringkat akhir.

Ia dijangka dapat dibentang pada persidangan Dewan Rakyat, Oktober ini.

"Denda RM100,000 dan penjara tiga tahun bagi peniaga perseorangan dan denda RM250,000 kepada syarikat atau penjara tiga tahun yang dikenakan sekarang dilihat tidak menginsafkan peniaga terbabit.

"Malah mereka semakin rakus dan bermaharajalela menaikkan harga barang serta melakukan pelbagai penipuan termasuk yang terbaru peniaga "Kopitiam Old Town" yang menipu logo "Halal" bagi mengaut keuntungan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup mesyuarat Agung Koperasi Wanita Bera, di sini, Ahad.

Ismail Sabri berkata pihak penguatkuasa kementerian tidak akan bertolak ansur dengan peniaga yang terbabit menipu orang ramai.

Beliau berkata pindaan akta itu kelak akan mengenakan denda yang lebih tinggi dan hukuman penjara yang lebih lama agar peniaga tidak sewenang-wenangnya menipu atau menaikkan harga barang sesuka hati.

Ismail Sabri berkata menerusi pindaan akta itu juga, lambang logo "Halal" tidak lagi boleh dikeluarkan syarikat terpilih sepertimana sekarang.

"Hanya logo yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Negeri (Jaip) yang akan digunakanpakai pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata kerajaan memandang serius tindakan syarikat yang diberi kelulusan mengeluarkan lambang logo halal yang bertindak mengeluarkan logo itu secara bebas.

Artikel Lain