suria

Imarahkan Masjid Dan Surau - Tengku Abdullah

TEMERLOH: Jawatankuasa masjid dan surau diminta melaksanakan lebih banyak aktiviti perpaduan dan majlis ilmu bersesuaian sebagai usaha menarik lebih ramai kariah terutamanya golongan muda ke rumah ibadat itu.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah bertitah masjid dan surau, selain dijadikan tempat beribadat ia juga hendaklah dijadikan sebagai pusat perpaduan, menimba ilmu dan perhimpunan masyarakat setempat.

"Masjid yang cantik, besar dan indah dibina dengan peruntukan besar jika tidak diimarahkan dengan aktiviti keagamaan dan menimba ilmu, ia akan membazir," titahnya semasa merasmikan masjid Kampung Paya Luas dekat Kuala Krau, di sini.

Baginda bertitah peranan ahli jawatankuasa masjid bukanlah hanya sekadar melaksanakan sembahyang berjemaah lima waktu atau solat Jumaat seminggu sekali, tetapi perlu merancang aktiviti seperti kelas al-Quran, Fardu Ain, ceramah agama dan lain-lain.

Baginda menggesa umat Islam supaya mengukuhkan ikatan perpaduan di bulan Ramadan dengan melupakan segala sengketa yang berlaku sebelum ini.

"Sebagaimana insan biasa kita tidak lari daripada melakukan kesilapan, maka sempena bulan Ramadan yang mulia ini kita perlu hulurkan tangan bermaaf-maafan antara satu sama lain selain kita perlu banyak membuat amalan ibadah untuk bekalan di hari tua," titahnya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain