suria

127 Keluarga Terlibat Banjir Di Engkilili

KUCHING: Kira-kira 127 keluarga di tujuh kawasan, termasuk dari lima rumah panjang di daerah kecil Engkilili dekat Sri Aman, terjejas oleh banjir berikutan hujan sejak beberapa hari lepas.

Beberapa mangsa telah berpindah ke rumah sanak-saudara masing-masing di kawasan lebih tinggi walaupun ada rancangan untuk memindahkan semua mereka ke dewan serbaguna di bazar di sini, kata seorang jurucakap bilik gerakan banjir daerah kecil Engkilili.

Beberapa kawasan yang dilanda banjir, termasuk Ensurai, Merbong, Bua, Pukong, Sg Menuang, Batu Ansus dan Merio Nanga terletak berhampiran tebing Batang Lupar, yang meningkat paras airnya berikutan hujan lebat, kata jurucakap itu lagi.

Bagaimanapun, kata beliau, keadaan beransur pulih apabila paras banjir menurun kepada 0.47 meter pada pukul 8 pagi Ahad berbanding 1.52 meter, pada Rabu.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi meramalkan hujan akan berterusan di beberapa kawasan dalam tempoh seminggu akan datang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain